Pages

Friday, December 7, 2012

TLC 12




Bab 8

8.1

Ahad itu tenang saja pada mulanya. Zali bangun awal, bersembahyang subuh, bersarapan bersama Mokhtar dan kini sedang membasuh Iswaranya. Hatinya riang kerana akan keluar dengan Ana nanti.
“Demi cintaku padamu. Kukorbankan jiwa dan raga. Biar pun … “
Lagu ‘Fantasia Bulan Madu’ yang dipopularkan oleh kumpulan rock terunggul Malaysia, search, dinyanyikan oleh Zali. Walaupun suaranya tidak sehebat dan semantap suara Amy Search tetapi Zali tidak malu untuk menyanyikannya. Hati yang riang mengatasi segalanya. Sejak bercinta dengan Ana bukan sehaja hatinya riang tetapi terasa terisi juga. Dari Ana, banyak yang dipelajarinya. Tentang dugaan hidup, kecekalan, kesabaran dan pelbagai sikap murni lagi. Ana anak yatim piatu dan terpaksa mula menyara hidup sejak berumur lapan belas tahun tahun lagi. Pun begitu dia masih belum mengenali Ana sepenuhnya terutama latar belakangnya. Belum masanya, fikirnya, kerana tidak mahu Ana berduka jika dipaksa menceritakan kisah-kisah duka silamnya.
Iswara sudah pun dicucinya dengan sabun. Kini Zali sedang membilasnya dengan air. Sambil membilas Zali menyanyi. “Bisakah daku bertanya padamu. Dari mana datang sayang ini. Diredup matamu atau bisikan mesra. Adakah kerna sentuhan … ”
Tiba-tiba nyanyian Zali terhenti bila terdengar suara orang memanggil namanya. Lagu ‘Sentuhan Listrikmu’ milik M.Nasir itu terputus dari lidahnya. Zali bangun dari tinggung, melihat ke arah pintu pagar dan terkejut bila mendapati sesusuk tubuh yang berdiri tegak dengan senyuman sengaja dibuat itu ialah milik …

Natasha! hati Zali menjerit, gempar dengan kehadiran perempuan itu. Apa yang dibuatnya di sini? detik hatinya pula. Ahad yang tenang di Taman Markisa itu mula dikocak dengan kehadiran mengejut Natasha itu.
“Zali, Zali,” panggil Natasha yang melihat Zali seolah-olah terkaku sesaat sebaik melihatnya.
Zali tidak mahu menyahut. Bertinggung semula, cuba memekakkan telinga dan terus menyambung kerja. Tidak ingin bertemu Natasha lagi. Perempuan itu sudah lama mati untuknya. Dan sekarang hatinya sedikit pedih bila terkenangkan betapa beraninya Natasha datang mencarinya setelah menuang racun di dalam tekaknya.
“Zali, Zali, buka pintu pagar ni. I Natasha ni,” laung Natasha.
Kebetulan Mokhtar baru pulang dari kedai runcit. Natasha bercakap sesuatu dengan Mokhtar. Meminta diberi masuk dengan alasan hendak memohon maaf. Mokhtar yang simpati membenarkan Natasha masuk.
Mokhtar datang kepada Zali. “Dia nak cakap sikit dengan engkau,” kata Mokhtar.
“Nak cakap apa lagi? Aku tak ada apa-apa kaitan dengan dia lagi. Bagi aku dia dah mati. Dan dia pun memang dah lama menganggap aku mati,” balas Zali.
Mokhtar mengangguk, mengerti. “Dengarlah apa yang dia nak cakap,” kata Mokhtar, menepuk bahu Zali dan kemudian menyingkir diri masuk ke dalam rumah. Sengaja memberi ruang kepada Natasha dan Zali untuk bersemuka berdua. Mokhtar merasa tidak perlu menyekat usaha murni Natasha itu. Sebab itulah dia membenarkan
Natasha masuk menemui Zali. Jika kedatangan Natasha itu untuk menyucuk sembilu ke hati Zali lagi tentulah akan diusirnya Natasha jauh-jauh dari situ.
Natasha mendekati Zali. Zali buat tidak endah dengan kehadiran Natasha itu. Malas hendak melayan tetamu yang tidak diundang itu.
“You buat apa Zali?” tanya Natasha, cuba menggerakkan perbualan.
Zali berdiam saja. Meluat bila mendegar suara perempuan yang pepat di luar dan runcing di dalam itu. Bangun, menarik getah air dan bertinggung di depan tayar kanan belakang keretanya. Membilas tayar yang penuh dengan buih-buih sabun itu. Walaupun hatinya sekarang merasa seperti dihiris-hiris pisau tetapi dia masih dapat mengawal kemarahannya. Rentetan peristiwa yang menimpanya setahun lepas banyak mendidiknya supaya menjadi manusia yang lebih sabar dan tidak cepat melatah.
Natasha bersuara lagi, berusaha menggerakkan perbualan. “Ini kereta baru you, Zali? Cantik.”
Zali terasa seperti disindir. Merasa maruahnya cuba diperlecehkan oleh Natasha. Dan dia tidak akan membenarkan perkara itu berlaku lagi. Geramnya pecah juga. “Kalau kau datang hanya untuk menyindir, aku rasa baik kau pergi saja dari sini.”
Natasha tidak menyangka yang kata-katanya itu menyakiti hati Zali. Dia sebenarnya tidak bermaksud hendak menyindir. Tidak menyangka Zali tersalah faham dengan pujiannya itu. Apa pun tersalah faham Zali itu tidak juga sia-sia untuknya. Sekurang-kurangnya Zali sudah mahu bercakap dan dia akan menggunakan peluang ini untuk memaksa Zali terus bercakap. “I tak sindir you, Zali. I puji ikhlas,” kata Natasha.
“Puji ikhlas?” tanya Zali, merenung muka Natasha dengan benci. “Kau tahu ke apa makna ikhlas?” sambung Zali, tergelak.
“You masih marahkan I? Semua tu cerita lapuk Zali,” kata Natasha.
“Memang benar itu cerita lama. So, buat apa kau datang ke sini lagi?” balas Zali, bangun dan bertinggung di tayar belakang kiri pula. Rim kereta itu disemburnya dengan pancutan air deras. Air memercik liar seperti ikut sama melempiaskan geram.
“I datang nak minta maaf, Zali,” Natasha terdengar merayu.
“Ya, ya, aku maafkan,” jawab Zali sambil lewa. Dia mahu Natasha segera pergi dari situ. Ampunnya tadi separuh ikhlas. Memang marahnya masih ada tetapi tidak sampai berdendam. Dendam pembunuh senyap buat pendendam. Dia tidak mahu merasa sakit hati dan kacau bilau perasaan sepanjang hayat.
Natasha tahu Zali belum betul-betul memaafinya. Tetapi Natasha tidak kisah dengan itu. Kedatangannya bukan untuk memohon maaf sangat tetapi untuk merapatkan dirinya dengan Zali semula. Rumah tangga Natasha dan Malik sedang bergolak sekarang. Selalu sahaja bergocoh. Baru setahun tetapi Malik sudah kahwin baru sebulan lepas. Madu Natasha adalah seorang eksekutif muda yang cantik dan seksi. Malik sekarang jarang ada di rumah. Dan Natasha terseksa batin. Dan seksaan batin itu nampaknya tidak dapat dibahagiakan dengan wang. Natasha merasa sungguh sunyi.
“So, kenapa you berada di sini lagi? Aku kan dah maafkan,” tanya Zali. Terdengar seperti menghalau. Dia manusia biasa, bukan maksum.
“I menyesal Zali. I tak bahagia sekarang,” kata Natasha, terus terang untuk meraih simpati Zali.
“Sepatutnya kau bahagia,” kata Zali, tersenyum sinis. “Apa kebahagian tak dapat dibina atas timbunan duit ke?”
“Ya, ya. Duit tak boleh beli bahagia. Aku tersilap dulu. Dan …dan engkau betul. Aku menyesal kerana ikut cakap bapa aku dulu. Aku dipaksa Zali,” kata Natasha, sanggup buat apa saja termasuk menyalahkan bapanya untuk mendapatkan dakapan Zali semula.
Zali diam, belum mahu membalas. Sudah tahu ke mana perbualan itu akan ditunggang oleh Natasha. Perempuan ini tak malu, detik hatinya.
“I selalu rindukan you, Zali,” kata Natasha, lembut, merayu.
Zali tersenyum. “Tempat kau bukan di sini. Tempat kau di sisi suami kau,” pesan Zali, jujur dan ikhlas.
“Tapi Malik tak dapat berikan kebahagiaan kepada I lagi,” jawab Natasha, cuba menyanggah kata-kata Zali itu.
“Ada kau beri bahagia kepada dia selama ni? Kau kahwin dia pun sebab duit. Belajarlah menyintai orang dengan sepenuh hati. Barulah orang akan menyintai kita sepenuh hati juga,” balas Zali, jujur dan ikhlas lagi. “Sudahlah. Pulanglah. Tempat kau bukan di sini. Terus anggap aku dah mati. Bagi aku, kau dah mati. Lagipun …”
“Apa Zali?” sampuk Natasha.
“Aku dah ada teman wanita. Kami bahagia sekarang,” jawab Zali.
“You … you …” kata-kata mula tersekat di tekak Natasha. Sukar hendak mempercayai apa yang baru didengarnya. “Dah ada new girlfiriend? Selepas baru setahun lebih I pergi? You tak cintakan I lagi?”
Zali tergelak. Pergi menutup kepala pili air. “Kenapa? Kau rasa aku tak layak menyintai dan dicintai? Kau tahu Natasha, kaulah orang yang paling tak layak menyintai dan dicintai sesiapa. Kau menyukat kebahagiaan dengan nilai angka di dalam akaun bank,” jelasnya.
“I dah berubah Zali,” rayu Natasha. “I sekarang dalam proses penceraian,” umpannya.
“So?” tanya Zali selepas melihat Natasha memandangnya.
“I nak kembali kepada you,” kata Natasha, tak malu-malu.
Zali tergelak lebih besar. Tidak berkata apa-apa, menggulung getah air, mengangkat baldi air dan berjalan hendak masuk ke dalam rumah. Tetapi berhenti melangkah di pertengahan jalan, menoleh ke arah Natasha yang mengekorinya lalu berkata : “Kau tak boleh masuk dalam rumah ni. Pulanglah. Jadi isteri yang baik. Aku pun bukan tong sampah.”
“I dah nak bercerai,” jawab Natasha.
“Tapi masih isteri orang. Lagipun kau tu perempuan. Kami lelaki. Aku masuk dulu. Nak keluar dengan teman wanita aku nanti,” jawab Zali, melangkah masuk ke dalam rumah.
“Zali, I’m not finish yet!” jerit Natasha.
Tetapi jeritan Natasha itu tidak berguna lagi. Pintu rumah itu tertutup rapat hampir mengenai mukanya. Bila terdengar tombol dan selak pintu itu dikunci Zali, Natasha terkedu di luar. Terkedu kerana Zali betul-betul berubah. Lelaki itu seperti tidak getar lagi bila berdepan dengannya. Tak terkalah lagi oleh jelingan dan kemanjaannya. Dan kata-katanya bukan lagi dekri untuk Zali. Itu memang di luar jangkaannya. Tetapi dia masih belum mahu mengalah. Melangkah pergi dari perkarangan rumah itu bersama azam jahat yang membara.
Zali terus melangkah masuk ke dalam kamar tidur untuk bersiap.
Natasha tidak pergi jauh dari rumah itu. Menunggu Zali keluar. Natasha ingin tahu benar perempuan mana yang berjaya mencuri hati Zali dari tangannya. Natasha merasa tercabar seperti haknya dirampas.
Iswara Zali keluar dari perkarangan rumah. Memecut laju ke arah Butterworth. Natasha mengekori dari belakang. Sampai di Jalan Baru, Zali membelok keretanya ke simpang masuk Megamall Pinang. Zali ambil Ana di flet. Selepas itu mereka terus menuju ke Prangin Mall. Mereka bercadang hendak menonton wayang, makan dan minum bersama Khairul.
Natasha yang mengekori Zali itu geram hatinya sebaik melihat dengan mata sendiri kebenaran kata Zali itu. Berlalu dari situ setelah tahu di mana rumah Ana.
Ke USM, sudah. Ke Prangin Mall, sudah. Bersolat Zohor, sudah. Menonton wayang, sudah. Makan minum, sudah. Bersolat Asar, sudah. Hantar Khairul ke USM pun sudah. Kini, Zali dan Ana dalam perjalanan pulang. Mereka menyeberangi Selat Melaka itu dengan menggunakan feri. Bukan dengan menggunakan Jambatan Pulau Pinang yang
hampir dengan USM itu. Biar jauh sedikit asalkan bererti. Zali mahu menyambut bulan kelapan dia terserempak dengan Ana di atas feri itu.
Mereka menyambut ulang bulan itu di atas feri Pulau Talang-Talang. Memang bertuah kerana keraian itu dapat dirayakan di atas feri yang sama. Mereka naik ke tingkat atas. Berdiri di bahagian kiri feri, mengambil gambar solo dan berdua, menikmati panorama indah Gunung Jerai, pelabuhan yang sibuk dan tengah selat yang tenang. Kemudian mereka duduk bersantai di bangku sambil makan donut dan minum air mineral.
Kini Ana sedang membelek suratkhabar. Membaca sebuah cerpen di dalam Mingguan Malaysia. Zali meneliti cerpen itu seketika sebelum lebih tertarik untuk memerhati gelagat beberapa ekor merpati yang berjalan terhangguk-hangguk di hadapannya.
“Awak tak nak baca cerpen ni ke?” tanya Ana setelah cerpen itu habis dibacanya.
Zali mengangguk. “Nanti saya baca,” jawab Zali.
“Janji awak akan baca. Seronok cerpen ni. Sedih pun ada,” komen Ana. Ana jarang terlepas membeli Mingguan Malaysia setiap minggu. Gemar membaca cerpen yang tersiar setiap minggu. Mujurlah suratkhabar itu masih dijual di kedai kecil di atas feri itu.
“Saya janji. Dan awak pun mesti janji dengan saya juga,” jawab Zali.
“Janji apa?” tanya Ana, menutup suratkhabar.
“Awak mesti kahwin dengan saya nanti,” kata Zali.
Ana tergelak. “Tentu saya akan berkahwin dengan awak jika …”
“Jika apa?” tanya Zali tidak sempat-sempat.
“Jika kita ada jodoh,” jawab Ana.
Zali mengangguk faham. “Kalau tak ada jodoh?” tanya Zali pula, ragu-ragu.
Ana terdiam lama sebelum mengangkat bahu.
Zali yang memberikan jawapan kepada soalannya itu. “Kalau tak ada, saya akan pastikan ada.”
“Kehendak Tuhan tak siapa yang boleh menghalang,” kata Ana, menyatakan realiti sebenar. “Tetapi yang penting kita berusaha sedaya upaya. Tuhan sayangkan manusia yang berusaha. Yang berusaha dan kemudian bertawakkal lalu pasrah dengan setiap keputusanNya,” jelas Ana lagi.
Zali mengangguk setuju. “Tuhan sayangkan kita.”
Ana mengangguk setuju.
Kemudian mereka sama-sama tersenyum sambil disapa lembut oleh angin nyaman dari tengah selat itu.
Cinta mereka mekar dan mewangi setiap saat.



No comments:

Post a Comment