Bab 3
3.1
Malam itu sungguh sunyi. Sesunyi kawasan perkuburan. Malam itu gelap gelemat. Segelemat liang kubur manusia yang sepanjang hidupnya bergelumang dengan dosa. Malam itu langit tanpa bulan dan bintang. Lapang selapangnya dari ufuk timur ke ufuk barat. Selapang hati manusia yang tandus dengan kasih sayang.
Dan malam itu, di rumah Mak Su, suasana yang dulu sentiasa sentosa kini tidak sesentosa mana. Seketul hati mentah sedang membiakkan geram dan seketul hati matang sedang mengandungkan sebak.
Zali memandang tajam muka Mak Su. Geram hatinya sedang berdenyut-denyut. Dia betul-betul tidak puas hati dengan alasan yang baru keluar dari mulut emaknya itu. Alasan yang difikirnya sudah kolot untuk diterima oleh banyak manusia di zaman serba moden ini. Alasan yang cuba memutuskan tali cintanya dengan Natasha. Dia berazam akan mempertahankan cintanya itu sedaya upaya. Kalau terpaksa sanggup bertindak kejam. “Bagaimana mak tahu yang Natasha tu tak baik dan tak beragama?” tanya Zali, mencabar Mak Su supaya membentangkan bukti.
Mak Su menggeleng-gelengkan kepala sambil tersenyum. “Sepanjang dua hari di sini, mak tak nampak pun budak Natasha tu ambil wuduk. Tak nampak juga dia bersembahyang. Bukan lima tapi satu pun tidak. Itu …” Mak Su memberhentikan katanya, memandang Zali yang sudah terkebil-kebil matanya. Kemudian menyambung
kata semula, “Itu dah cukup untuk buktikan siapa Natasha. Dan orang yang tak kenal Tuhannya bukanlah manusia yang baik juga. Dan … dan orang yang beragama tak pakai
belah sana belah sini.” Mak Su memang memerhati setiap laku dan cakap Natasha setiap saat sepanjang dua hari Natasha tinggal di situ seminggu lepas. Cara berpakaian Natasha memang menjolok matanya.
Seminggu lepas, Zali sengaja membawa Natasha pulang ke kampung. Niatnya untuk memperkenalkan dan mengakrabkan Natasha dengan Mak Su. Berharap sangat yang emaknya itu akan menerima perempuan yang menjadi pilihan hatinya itu. Tetapi sangkaannya itu meleset bila Mak Su sekarang terang-terang memberikan tentangan.
“Natasha datang bulan masa tu, mak. Dan … dan pakaian tak menjelaskan apa yang ada di hati. Hati Natasha bersih, mak,” kata Zali, cuba mempertahankan Natasha. Zali terpaksa berbohong. Memang mengetahui yang Natasha tidak pernah mendirikan solat. Dan dia sendiri sejak bercinta dengan Natasha selalu saja meninggalkan solat.
Mak Su tersenyum mendengar kata-kata Zali itu. Berasa sedikit kecewa kerana anaknya memegang pada kepercayaan yang salah. Mak Su hanya mahu yang terbaik untuk anaknya itu. Sudah berkira-kira hendak menjodohkan anaknya itu dengan anak dara kenalan lamanya. Anak dara itu kini hidup sebatang kara bersama adik lelakinya selepas kematian ibu bapanya empat bulan yang lalu. Mak Su sudah pun melihat anak dara itu. Jauh lebih berbudi bahasa dan beragama berbanding Natasha. Walaupun tidaklah secantik Natasha tetapi anak dara itu cukup cantik untuk dipandang mata. Wajahnya lembut dan ayu. Natasha pun bukanlah secantik mana. Cantik kosmetik sahaja. Mak Su pun belum pernah lihat wajah asli Natasha. Siang malam muka Natasha itu sentiasa bertempek dengan mekap. Dari pengamatannya,. Mak Su yakin Natasha
bukanlah seorang perempuan yang baik. Terasa lebih yakin bila terdengar Natasha merengek hendak pulang selepas baru setengah hari duduk di rumah ini hari itu. Dan
Zali, walaupun mengeras pada mulanya, akhirnya terpaksa memendekkan percutiannya di kampung dari lima hari ke dua hari sahaja. Belum apa-apa lagi sudah mahu kawal semuanya. Belum apa-apa lagi sudah mahu membuang bakal emak mertua.
“Pakaian seseorang adalah cermin peribadinya, Zali,” balas Mak Su setelah berdiam lama. Suaranya dilagukan sehabis perlahan dan lembut. Cuba jadi titis air. Bukannya percik api. Berlembut secara berhemat dan berhikmah adalah cara terbaik untuk menangani api marah anaknya itu. Berkeras hanya mengundang bantahan. Tambahan pula bila menyedari anaknya itu seorang anak muda. Hati anak muda seperti gunung berapi. Diam memberi ancaman. Menggelegak memberi bahaya.
Zali mendengus. Kalah dengan kata emaknya itu tetapi tetap tidak mahu mengaku kalah dan salah. “Tapi saya cintakan dia, mak!”
“Jangan biarkan cinta itu membutakan Zali. Lihatlah dengan mata hati, Zali. Nescaya Zali takkan sesat menjalani hidup ini,” pesan Mak Su.
Zali mendengus lagi. Kali ini dengusannya itu kedengaran kuat. Geramnya kini melahirkan marah. Marahnya yang tidak terkepung lagi itu menghasilkan pekik. “Saya cintakan Natasha, mak!!! Saya cintakan Na-ta-sha!!!”
“Zali tak sesuai dengan dia,” balas Mak Su, lembut walaupun terkejut dengan pekikan Zali tadi. Itu kali pertama Zali meninggikan suara terhadapnya. Zali memang sudah banyak berubah sejak bercinta dengan Natasha. Sudah jarang pulang ke kampung.
Sudah jarang menelefon untuk bertanya khabar. Selalu saja kesempitan wang dan kerap meminta darinya. Dan kini sudah sanggup menentang matanya pula. Sudah sanggup melawan katanya pula. Dan paling memeranjatkan sudah sanggup memekik terhadapnya. Kemudian Mak Su menyambung kata lagi, “Zali takkan bahagia dengan dia. Percayalah cakap mak ni …” rayu mak Su. Berharap Zali mahu mengikut cakapnya yang sudah cukup banyak memakan garam kehidupan.
“Mana mak tahu kami takkan bahagia?” tanya Zali, telinganya panas. Merenung muka Mak Su dalam-dalam.
“Mahligai cinta yang dibina bukan atas tiang agama takkan bahagia, Zali,” jawab Mak Su. Meneliti muka Zali.
Zali mengeluh pendek. “Lagi, lagi agama. Lagi, lagi agama. Natasha datang bulan hari tu, mak. Da---tang bulan! Sebab tu dia tak dapat sembahyang hari tu. Emak pun tahu hukumnya,” Zali cuba menyanggah kata-kata Mak Su itu. Menyanggah dengan pembohongan. Nampaknya Zali tergamak buat apa sahaja demi mendarjatkan Natasha di mata Mak Su.
Mak Su tersenyum. Tahu yang Zali sedang berbohong. “Jangan hendak berbohong lagi Zali. Mak tahu Natasha tu tak datang bulan hari tu. Mak tahu juga yang dia tak pernah sujud pada Tuhan,” jawab Mak Su, mematahkan kata-kata Zali.
“Mana mak tahu?” Semua cakap emaknya sekarang diminta bukti oleh Zali.
“Mana tuala wanitanya? Disorok di dalam beg selepas dipakai? Mak dah selongkar seluruh bakul sampah. Tak jumpa pun,” jawab Mak Su. "Lagipun dia mengaku belum datang bulan bila mak tanya dia."
Zali meradang. “Saya cakap betul!!! Arghhh, malaslah nak layan mak lagi,” kata Zali, bangun dari kerusi rotan, berjalan menghala ke pintu rumah, membuka selak pintu itu dan turun ke tanah.
Mak Su menerpa ke muka pintu rumah. “Engkau nak pergi mana, Zali?”Zali menoleh. “Saya nak balik. Dan jangan harap saya balik lagi. Saya tetap akan bercinta dengan Natasha sama ada mak suka atau tidak!”
Mak Su berdiri di beranda rumah itu. Melihat Zali yang masuk ke dalam kereta. Enjin kereta mula bernyawa.
Tiba-tiba Zali keluar dari kereta, melihat emaknya dan bertanya : “Siapa saya ni mak? Mak pilih kasih!”
Belum pun sempat Mak Su menjawab, Zali sudah pun berlalu laju dari halaman rumah itu. Meninggalkannya yang kini terjelepok di atas beranda itu. Maka sebak yang cuba ditahannya tadi lahirlah sudah sebagai tangis. Titis-titis air mata seorang emak itu pun mengalir ke pipinya dan menitis setitis demi setitis membasahi lantai papan beranda itu.
3.2
Sejak itu Zali tak pulang-pulang lagi ke rumah itu.
No comments:
Post a Comment