Pages

Tuesday, December 4, 2012

TLC 7




5.3

Selepas tiga hari berjiran, barulah Khairul mendapat peluang berbual-bual dengan Zali. Dua hari sebelumnya, Zali lebih selesa membatukan diri biarpun sudah cuba ditegur oleh Khairul beberapa kali.
“Bagaimana kaki abang boleh patah?” tanya Khairul, gembira kerana tegurannya tadi dijawab oleh Zali. Usaha berulang kali membesarkan kejayaan dan mengecilkan kegagalan.
Zali cuba tersenyum. Senyumannya kurang manis. Seolah-olah bibirnya tiada daya lagi untuk mengukir senyuman manis. Diri Zali memang lemah. Zali tidak lalu makan. Bukan kerana makanan hospital tidak sedap tetapi selera makannya yang tiada. Zali asyik mengenangkan nasib buruknya. Mengingatkan Natasha yang menikamnya dari belakang. “Dipukul orang,” jawab Zali tiba-tiba, becakap benar.
“Kenapa bang?” tanya Khairul, tersenyum. Dia cuba menembusi rahsia Zali itu.
Zali membisu lama sambil merenung syiling putih di atas kepalanya. Kemudian mengambil keputusan
untuk menjawab sambil memandang muka Khairul, “Abang cuba nak dapatkan semula kekasih abang.”
“Kenapa dengan kekasih abang?” tanya Khairul, bertalu, tidak sabar pula.
Zali membisu lama lagi, mengalihkan pandangannya dari muka Khairul ke syiling putih itu semula. Tiba-tiba matanya berpasir. Sebak menolak air matanya supaya mengalir. Zali teru membisu. Membiarkan pertanyaan Khairul itu tergantung tanpa jawapan.
Khairul merasa bertanggungjawab. Tanpa tunggu terus memohon maaf kerana yakin tangis Zali itu akibat pertanyaannya tadi. Dan maafnya juga dibiar tergantung tanpa balasan pengampunan oleh Zali yang sudah pun memejamkan mata.
Setengah jam selepas itu Ana pun datang melawat Khairul. Khairul memberitahu tentang perbualannya dengan Zali kepada Ana. Dan dua beradik itu sudah pun mencapai satu kesimpulan yang meyakinkan. Mereka bersetuju bahawa Natasha yang selalu disebut oleh Zali itu ialah kekasihnya.
Ana melihat Zali dari katil khairul. Merasa kasihan dengan muka lemah lelaki itu. Simpati Ana terhadap Zali bertambah. Menokok dari hari ke hari. Rasa ingin lebih mengenali Zali juga semakin berganda.
“Kesian abang tu kan, kak,” kata Khairul.
Ana mengangguk sambil terus merenung Zali. Setiap manusia ada deritanya sendiri, detik hati Ana. Insaflah dia.

5.4

Sudah tujuh hari Zali di Hospital Daerah Bukit Mertajam. Dalam tujuh hari itu, dia hanya dilawati oleh orang hanya dua kali. Sekali oleh rakan serumahnya, Mokhtar, pada hari pertama dia di situ. Zali sudah berpindah rumah untuk mengelakkan dirinya dari ditemui oleh abangnya lama dulu. Kini tinggal bersama Mokhtar, rakan seuniversitinya dahulu. Bukan dengan Shahril lagi. Mokhtar dan Shahril tidak mengenali di antara satu sama lain. Selepas itu Mokhtar tidak datang lagi kerana terpaksa ke Singapura atas urusan kerja. Kali kedua oleh seorang dua rakan sekerjanya pada empat hari lepas. Masa selebihnya, Zali bersunyi. Hatinya terasa juga dengan keadaan sunyi begitu. Tiba-tiba dia teringatkan keluarganya. Tiba-tiba merasa sebak lalu menangis. Dan tangisannya itu ditegur oleh Ana yang memerhati Zali sejak tadi.
“Kenapa Encik Zali menangis?” tanya Ana, memberanikan diri menegur dan menghampiri Zali. Ana tahu Zali sudah dapat berbual panjang dengan Khairul walaupun adiknya itulah yang banyak berceloteh.
“Tak ada apa,” jawab Zali, menyapu air mata yang membasahi pipinya.

“Encik Zali nak makan limau?” tanya Ana, malas hendak bertanya lanjut tentang tangis Zali itu. Mahu membawa keceriaan ke situ. Ana tidak menanti jawapan dari Zali. Kembali ke katil Khairul dan mengambil sebiji limau dari dalam bungkusan di atas meja sisi. Khairul sedang tidur. Dalam perjalanan semula ke katil Zali, dikupasnya kulit limau itu siap-siap. “Nah,” diserahnya seulas limau itu kepada Zali sebaik sampai ke katil Zali itu semula.
Zali menggeleng, enggan hendak menerima. Seleranya pada apa jua makanan sudah hilang.
“Makanlah,” pujuk Ana. “Makanan tengahari tadi pun saya lihat Encik Zali jamah sedikit saja,” sambungnya.
Zali menggeleng, masih enggan hendak menyambut seulas limau yang sedang diunjukkan oleh Ana itu. Tekaknya memang tidak mengidam apa-apa makanan lagi. Hatinya sahaja yang mengidamkan muka Natasha. Tetapi sampai sekarang dia kempunan.
“Nanti kembung perut kalau biarkan perut itu kosong,” kata Ana, masih cuba memujuk.
Zali memandang muka Ana. Pandangannya itu kosong. Tetapi tangannya tergerak hendak menyambut seulas limau itu. Kemudian memakannya sambil matanya terus memandang Ana yang sudah tersenyum. Seulas demi seulas dan akhirnya habis sebiji limau itu masuk ke dalam perutnya. “Terima kasih cik …”
“Ana,” sambut Ana. “Kakak Khairul,” tambahnya.
“Terima kasih, Cik Ana,” ulang Zali.
Ana tersenyum lalu membalas : “Biasa saja ni, Encik Zali.” Selepas itu Ana mula melangkah untuk kembali ke katil Khairul. Tetapi ditahan oleh Zali yang memintanya duduk di kerusi di tepi katil itu.
Ana duduk dengan ragu-ragu. “Kenapa Encik Zali?”
“Boleh tak Cik Ana duduk di sini? Temankan saya sampai terlelap,” pinta Zali, yang memang merasa perlu ditemani. Dia merasa amat sunyi.
Ana was-was tetapi mengangguk juga. Selepas anggukkan Ana itu, Zali pun memejamkan matanya. Terlelap tidak lama selepas itu.

5.5

Bila Zali membuka matanya, dilihatnya katil Khairul kosong. Ketiadaan Khairul di katil itu meresahkan Zali lantas dipanggilnya seorang jururawat yang berada berhampiran. Bertanya ke mana Khairul pergi kerana seingatnya Khairul tidak memberitahunya yang dia akan keluar wad itu hari ini. Mereka memang semakin mengenali.
“Hah! Dia dah keluar?!” tanya Zali dalam terkejut.
Jururawat itu mengangguk, mengesahkan.
“Bila cik?” tanya Zali lagi. “Siapa yang mengambilnya? Cik Ana?” sambung Zali, tanyanya bertubi-tubi.
“Pagi tadi. Betul, Cik Ana yang mengambil Khairul. Mereka tak nak kejutkan Encik Zali tadi. Nampak nyenyak tidur. Selalunya tidak begitu,” jawab jururawat itu yang sudah beberapa kali terdengar Zali mengingau ketika bertugas syif malam.
Zali mengeluh panjang. Dia sudah dua tiga kali berbicara dengan Ana. Dari Analah dia mendapat sedikit semangatnya semula. “Teruskan hidup Encik Zali. Kehidupan ini bukan berkisar pada hubungan lelaki dan perempuan saja. Kita mencuba tetapi Tuhan yang menentukan. Jodoh itu di tangan Tuhan. Sudah tersurat di Sodratul Muntaha.” Kata-kata Ana itu terngiang di telinganya. Perempuan itu bijak menelaah apa yang berlaku biar pun cerita pedih itu belum sampai ke telinganya. Itulah kata-kata terakhir Ana semalam. Hari ini tidak akan didengarnya suara itu lagi. Tiba-tiba hatinya berasa kosong …
Khairul dan Ana pergi, semangat Zali lumpuh kembali. Tanpa perbualan, masanya terdedah kepada ingatan-ingatan bersama Natasha. Natasha seperti dilihatnya di merata-rata – di syiling putih, di dalam makanan, di dalam air minuman dan di dalam mimpi. Mengingaunya pun semakin menjadi-jadi. Kemurungan mencengkamnya sepanjang masa. Lantaran itu, Zali menjadi lemah. Hospital Daerah Bukit Mertajam itu kembali menjadi neraka. Dirinya seperti mayat hidup ketika dibenarkan pulang ke rumah. Diambil oleh Mokhtar. Di rumah, dia terlantar di atas katil dalam kamar tidurnya sepanjang hari tanpa selera makan dan minum. Setiap saat asyik mengenangkan nasib buruknya di atas dunia ini.
Zali patah hati.



No comments:

Post a Comment