Pages

Monday, December 3, 2012

TLC 9





5.7

Besoknya keadaan nampak seperti tidak berubah. Zali masih memohon mati dari Tuhan. Tetapi orang takkan mati selagi ajalnya belum tiba.
“Makan lagi Zali, makan lagi,” kata Mokhtar, gembira kerana suapan nasi goreng itu ditelan oleh Zali. Kini Mokhtar terus menyuap nasi goreng itu ke dalam mulut Zali. Seperti ada kuasa ghaib yang menolak nasi goreng itu ke dalam kerongkong Zali. Zali sendiri tidak pasti mengapa dia menelan nasi goreng itu sedangkan kepinginkan sebuah kematian. Tak ada gunanya hidup tanpa Natasha, fikirnya. Tetapi tiba-tiba sahaja telinganya terdengar esakan Mokhtar semalam. Walaupun singkat tetapi dapat mengharukannya. Dan sekarang, terdengar pula nasihat Ana yang tidak pernah muncul lebih sebulan yang lalu : “Teruskan hidup Encik Zali. Kehidupan ini bukan berkisar pada hubungan lelaki perempuan saja. Kita mencuba tetapi Tuhan yang menentukan. Jodoh itu di tangan Tuhan. Sudah tersurat di Sodratul Muntaha.”
“Engkau harus bertenaga Zali. Bila bertenaga baru boleh lakukan sesuatu untuk menebus maruah engkau semula,” kata Mokhtar.
Zali mengangguk. Ada semangat baru yang menyusup tembus ke dalam hatinya. Ditelannya nasi goreng yang baru disuap oleh Mokhtar itu. Dapat dirasainya dengan jelas butir-buitr nasi goreng itu melalui kerongkongnya dan mula mengisi perutnya.
“Air Zali, air Zali,” kata Mokhtar, memberi segelas air masak kepada Zali. Kelopak mata Mokhtar sudah bergenang dengan air mata. Terharu kerana Zali sudah sedar. Sudah mahukan kehidupan.
Zali mengambil gelas air itu, menggogok air masak itu hingga dasar gelas itu kering.
Tiba-tiba terdengar bunyi hon motosikal.
Mokhtar bergegas turun ke tingkat bawah, keluar dari rumah dan mendapatkan posmen yang menunggu di luar pintu pagar rumah itu.
Surat-surat untuk Zali. Mokhtar mengambilnya bagi pihak Zali. Posmen itu berlalu pergi. Sementara Mokhtar naik ke kamar tidur Zali kembali.
“Zali, surat untuk engkau. Dari kilang engkau dan bank,” kata Mokhtar menyerahkan dua pucuk sampul surat kepada Zali.
“Bukalah. Bacakan untuk aku,” kata Zali, sudah mampu bersuara. Tidak getar untuk menghadapi realiti hidup lagi.
Mulut sampul surat dari kilang itu dibuka oleh Mokhtar. Mengeluarkan surat yang terlipat tiga itu dan membetulkannya. Sebuah surat rasmi terpampang di depan matanya.
“Bacalah …” arah Zali bila melihat Mokhtar masih belum menyebut sepatah perkataan pun dari surat yang sedang ditelitinya itu.
Mokhtar mula membaca untuk Zali dengan hati yang berat. Surat itu surat pemecatan jawatan Zali.
“Kejam mereka, kejam,” komen Mokhtar sehabis selesai membaca.
Zali tersenyum. “Aku yang bersalah. Dah banyak kali mereka beri amaran dulu. Jangan cuti membabi buta. Tumpu pada kerja. Tapi aku buat sambil lewa saja kerana tergilakan Natasha. Dan inilah akibatnya,” balas Zali, menerima pemecatan jawatannya itu dengan berlapang dada.
“Engkau jangan putus asa. Teruskan hidup. Banyak kerja lain,” pesan Mokhtar.
Zali mengangguk.
Surat yang kedua dari bank pula memberitahu tindakan mahkamah akan diambil terhadapnya jika dia gagal menjelaskan hutang kad kreditnya. Mungkin dia akan diisytiharkan muflis. Berita ini juga diterima oleh Zali dengan tenang.

5.8

Tuan punya rumah datang tadi. Meminta sewa rumah itu dua hari lagi. Sudah dua bulan Zali tidak membayar bahagian sewa rumahnya itu. Sebulan lepas, Mokhtar yang dahulukan bahagiannya. Tetapi kini, bukan sahaja Zali tidak berduit untuk membayar sewa yang didahulukan itu kepada Mokhtar tetapi tiada juga wang untuk bayaran yang terbaru ini.
“Tak apa Zali. Aku dahulukan. Bayar bila engkau dah ada duit nanti. Lagipun kaki engkau belum pulih sepenuhnya. Kena pecat pulak tu. Apa guna kalau ada kawan
tapi tak dapat menolong, betul tak?” kata Mokhtar setelah Zali memberitahu kedudukan kewangannya ketika ini.
Zali mengangguk teragak. Sudah banyak terhutang budi dengan Mokhtar. Kini merasa seperti Mokhtarlah yang menanggungnya. Bil hospitalnya pun Mokhtarlah yang menjelaskannya kerana dia tidak dilindungi sebarang insuran. Zali merasa bernasib baik kerana mendapat kawan sebaik Mokhtar. Tidak ramai kawan seperti Mokhtar yang sanggup bersusah bersama. Kini, Zali merasa menyesal kerana tidak mengikut nasihat Mokhtar dahulu. Dan merasa malu bila teringatkan dia pernah menempelak Mokhtar supaya jaga tepi kain sendiri selepas rakannya itu memberitahu bahawa Natasha bukanlah perempuan yang baik. Natasha pisau cukur. Tetapi cinta membutakannya pada masa itu. Akibatnya Zali diperangkap oleh Natasha yang berselindung di balik keprihatinan dan kemanjaannya. Natasha tidak ubah seperti seorang pelacur. Sanggup melayan siapa saja untuk wang. Sekarang ini barulah disedarinya betapa hinanya perempuan yang dicintainya itu. Dan merasa sia-sia pula kerana meranakan dirinya demi cinta itu dalam beberapa bulan ini.
“Aku rasa nak cari kerja dalam seminggu lagi. Aku malu engkau tanggung semua,” kata Zali selepas bermenung seketika. Rasa malunya itu menunjukkan Zali sudah semakin pulih.
“Jangan risau. Ambillah masa untuk betul-betul pulih,” balas Mokhtar.
Zali bangun, memperagakan jalan. “Dah elok dah kaki ni,” kata Zali, sudah dapat membiasakan dirinya dengan batang besi yang menggantikan tulang kakinya yang patah remuk.
“Ya, ya, kaki engkau mungkin dah pulih. Tapi hati? Betul-betul dah sembuh?” tanya Mokhtar.
Zali tersenyum, mencekak pinggang, kemudian mengangguk yakin. “Aku dah pam Natasha dalam tandas dua minggu lalu!”
Mokhtar tersenyum, percaya dengan kata-kata Zali yang memang dilihatnya semakin sembuh sama ada zahir atau batin.
“Eh Mokhtar, terima kasih atas bantuan engkau selama beberapa bulan ni,” kata Zali, merasa wajib mengucapkan terima kasih kepada Mokhtar. Manusia yang tahu mengenang budi adalah manusia yang tahu erti mengucapkan terima kasih. Manusia yang berhidung tinggi sahaja yang tidak tahu atau malu hendak mengucapkan terima kasih.
“Tak ada apa-apalah. Sebetulnya aku tolong diri aku juga. Engkau senang, aku pun senang. Engkau susah, aku pun akan susah nanti. Kita ni dah macam adik beradik. Cubit peha kanan, peha kiri pun terasa,” jawab Mokhtar, tersenyum.
Zali yang merasa sungguh terharu terus menghampiri Mokhtar dan lalu memeluknya.

No comments:

Post a Comment