Pages

Monday, December 3, 2012

TLC 2




1.2

Matahari tenggelam dan kumpulan-kumpulan burung pulang ke sarang. Bulan timbul dan bintang mintang yang berkerlipan pun bertaburan di dada langit hitam. Sekarang malamlah sudah.
Jam sepuluh setengah malam. Suasana sunyi benar selain suara cengkerik menjering-jering. Kampung itu memang cepat mati. Cepat pula hidup di awal pagi. Orang bekerja estet bergerak seawal empat pagi untuk ke estet dengan mengayuh basikal dua tiga kilometer dari rumah. Di tengah-tengah rumah kayu itu berdiri sebuah kelambu putih. Keadaan di dalamnya samar-samar. Lampu di ruang tengah itu sudah ditutup. Kini mengharap percikan sinar lampu dari ruang dapur. Memang sengaja dibuat begitu kerana Zali tidak dapat tidur dalam terang.
Di dalam kelambu itu, kelihatan dua anak beranak. Zali sudah pun lena. Sementara Mak Su sedang mengusap rambut anaknya itu. Kini hatinya tersentuh mengenangkan kata-kata Zali petang tadi. Kata-kata Zali itu bukanlah kali pertama
didengarnya. Sudah banyak kali tetapi setiap kali itu hatinya tetap tersentuh. Mak Su merasa bertuah kerana mempunyai anak seperti Zali dan Zainal, abang Zali. Bagi Mak
Su, kedua-dua anaknya itulah yang menjadi permata hati untuknya. Kerana itu, Mak Su cuba membesarkan mereka sebaik mungkin. Diberi didikan dunia dan akhirat secukupnya
supaya anak-anaknya itu nanti dapat menjadi manusia yang berguna kelak. Manusia yang dapat menabur bakti untuk agama, bangsa dan negaranya. Itulah impian Mak Su. Mak Su tidak berharap emas atau intan. Cukup sekadar itu.
Sejak Pak Su, suaminya yang juga seorang bekas guru besar itu, meninggal dunia kerana serangan jantung, soal menjaga anak-anak itu memang terbeban di pundaknya seorang. Ada beberapa duda kaya yang masuk melamarnya tetapi semua lamaran itu ditolak. Mak Su tidak mahu memperjudikan nasib anak-anaknya itu. Pencen arwah suaminya dan duit pajak kebun kelapa mereka itu cukup menampung hidup mereka anak beranak. Upah mengajar mengaji pula sedikit sebanyak ada membantu.
Bagi seorang emak, pengorbanan untuk anak-anak adalah kewajipan. Kebahagiaan anak-anak yang paling diutamakan. Anak bahagia, dia pun ikut bahagia. Anak derita, dia pun sama derita.
Mak Su merebahkan badannya di sisi Zali. Membaca Al-Fatihah, An-Nas, Al-Falaq, Al-Ikhlas dan doa tidur sebelum melelapkan mata. Selepas itu Mak Su pun lena dengan aman.
Di luar, selain cengkerik yang makin menjering-jering, kini sayup-sayup terdengar bunyi burung hantu. Satu-satu dan menyeramkan.


Bab 2


2.1

Tiga belas tahun kemudian…

Malam itu, Disko Vegas itu gempar dengan kebingitan dan kedengungan. Seperti malam semalam dan malam-malam sebelumnya. Kegemparan yang sengaja dicipta-cipta kononnya sebagai hiburan. Sekumpulan muda mudi sedang menari terkinja-kinja di lantai menari. Muda mudi Cina yang paling banyak. Sebahagian muda mudi lagi duduk berborak sambil minum dan makan di meja-meja di kiri kanan disko itu. Kebanyakkan meja itu diisi oleh botol-botol arak. Gelas-gelas arak sudah penuh dengan air kuning berbusa yang tidak ubah macam air kencing orang demam panas. Sebuah meja di sudut kanan disko itu dihuni oleh sekumpulan muda mudi melayu.
“Ini orang baru. Zali. Kawan sekerja I,” Ejat memperkenalkan Zali kepada kawan-kawannya.
“Hai, Zali. Nama I Melissa. Call me Lisa,” kata seorang perempuan yang berambut pendek itu. Menghulurkan tangannya dan disambut oleh Zali. Lisa tersenyum menggoda. Sudah banyak dengar cerita tentang Zali melalui Ejat.
“Hai, Zali. I’m Dora,” ucap seorang perempuan lain yang duduk terkapit di antara dua orang kawannya. Perkenalan itu kononnya rasmi selepas Zali menyambut salam Dora. Dora sengaja menggaru tapak tangan Zali ketika bersalam tadi. Sengaja mengusik. Menggoda dalam mengusik. Zali tersengih sahaja bila diperlakukan begitu.
Kini Zali memandang muka perempuan yang sejak tadi menjadi tumpuan matanya. Wajah itu sungguh cantik dan belum pernah ditemuinya di mana-mana sebelum ini. Wajah itu wajah perempuan impiannya selama ini. Selain itu, tubuh perempuan itu juga begitu sempurna. Ramping, seksi dan bergetah.
“Ni lah Zali yang I selalu ceritakan pada you Natasha,” kata Ejat, mengenyit mata kepada perempuan yang dipanggilnya Natasha itu.
Natasha mengangguk. Mengenyit mata semula. Tidak menyangka apa yang dicerita oleh Ejat tentang Zali itu semuanya benar. Zali memang kacak, bergaya, tebal dompet dan pemalu.
“Natasha,” kata Natasha, memperkenalkan diri, mengesahkan namanya. Tidak terlepas meghulurkan tangan, menanti salamnya itu disambut oleh Zali.
Zali yang seperti terpukau oleh kecantikan paras rupa Natasha itu terkedu. Sehinggalah dia tersentak selepas disinggul oleh Ejat. Kemudian pantas menyambut salam Natasha itu. Tapak tangan itu lembut macam span dan licin macam sutera. Bila salam mereka bertaut semacam ada kegetaran yang melanda diri Zali. Getar yang meresap hingga ke dalam hati dan kepalanya. Satu pengalaman perasaan indah yang tidak pernah dirasainya sebelum ini.
Natasha tersenyum sahaja. Membiarkan tangannya itu digenggam terus oleh Zali. Sehinggalah Zali tersedar sendiri, menarik tangan sambil memohon maaf dengan muka yang kian lama disimbah merah darah.
Selepas itu, mereka bersembang tentang macam-macam hal anak muda sambil minum Coca cola, makan kacang pistasio dan gajus. Tidak lama selepas itu, Ejat pergi
menari bersama Lisa dan Dora. Natasha tidak ikut sama. Rela menemani Zali yang mahu tinggal di meja itu setelah beria-ia menolak ajakan Lisa untuk menari.
Tiada perbualan yang berlangsung di antara Zali dan Natasha. Bagi Zali, ayat-ayat yang sudah dibina di dalam dadanya tidak mampu keluar. Seperti ada sekatan di kerongkong. Sekali-sekala dipanjangkannya ekor matanya untuk melihat Natasha. Wajah cantik Natasha itu sudah jadi candu untuknya – sekali tidak cukup, banyak hendak lagi. Manakala Natasha pula sengaja mendiamkan diri. Cuba menggoda Zali dengan isyarat-isyarat tubuh. Meraba-raba leher, mengusap-ngusap rambut dan memusing-musingkan gelas airnya. Dan memang sedar Zali memandang curi ke arahnya.
Ketika Ejat, Lisa dan Dora kembali ke meja, telefon bimbit Zali di dalam poket seluar bergetar. Zali menjawab panggilan telefon itu. Panggilan telefon dari Shahril, rakan sekelas semasa di sekolah sains dahulu dan kini serumah. Shahril bilang abang Zali datang. Zali kelam kabut minta diri dan meninggalkan Disko Vegas itu dalam keadaan tergesa-gesa.
Sebaik Zali pergi, Lisa bersuara. “Aku tengok dia tu macam sukakan engkau saja, Natasha.”
Dora pula menambah : “Aku pun rasa macam tu. Untunglah, untunglah.”
Natasha tersenyum.
“Pandai engkau goda dia,” kata Ejat pula. “Belanja aku nanti kalau dah dapat.,” sambungnya selepas meneguk air coca cola.
“Dapat apa?” tanya Natasha, tergelak.
“Dapat kikis duit dia. Macam tak biasa pulak. Penat aku rancang untuk ajak dia ke sini. Mula-mula ajak dia main boling di Megalanes. Selepas tu terlajak ke sini dengan
alasan nak jumpa kawan. Dia menolak pada mulanya tetapi pujukan aku berbisa,” jelas Ejat.
Natasha tersenyum sahaja. “Kali ini aku betul-betul sukakan seorang lelaki,” sambut Natasha. Tergelak.
Lisa yang terdengar kata-kata Natasha itu tersembur. Air coca cola yang baru diteguknya tadi kini membasahi meja. “Apa? Aku nak dengar lagi?”
Dora dan Ejat sudah pun ketawa besar. “Cinta konon…” kata Ejat yang tahu sangat dengan perangai Natasha itu. Pisau cukur paling tajam di kalangan perempuan bertiga itu.
Natasha tergelak juga. “Tapi rasa kasihan pula. Zali tu budak baik. Tak sampai hati,” kata Natasha, separuh bersungguh dan separuh tidak. Kemudian dia ketawa. Perempuan sepertinya tidak harus bersimpati dengan lelaki. Matlamatnya hanya wang dan untuk suka-suka saja.
“Kesian?” sambut Lisa. “Kesian?” ulangnya lagi sambil melihat Dora.
Dora tersembur ketawa. “Kesian? Kesian konon…” kata Dora kemudian.
Mereka berempat ketawa besar. Berlaga punggung gelas untuk meraikan Zali yang bakal menjadi mangsa Natasha dan merayakan Natasha yang bakal untung besar. Untuk sebuah keraian, coca cola diganti dengan arak. Dan disko Vegas itu terus sahaja gempar dengan kebingitan dan kedengungan.



2.2

Setelah sekian lama, yakinlah Zali bahawa perasaan getar yang dialaminya sewaktu pertama kali berjumpa dengan Natasha itu ialah cinta. Cinta pandang pertama. Setelah banyak kali keluar bersama Natasha, akhirnya Zali mengambil keputusan untuk meluahkan perasaan cintanya itu kepada Natasha pada hari itu.
Jam lima petang itu, Zali mengambil Natasha di rumahnya di Taman Bukit Indah, Bukit Mertajam. Mereka ke Komplek Mega Penang. Selepas makan di Pizza Hut, mereka pergi menonton wayang di MegaPavillion. Tidak ramai orang yang menonton filem yang dipilih Zali itu. Zali memang sengaja memilih filem itu untuk memudahkannya meluahkan perasaan kepada Natasha nanti. Mereka duduk di barisan paling belakang, di couple seat. Filem berputar ligat dan Zali teragak-agak hendak melakukan apa yang sudah dirancangnya. Dan di pertengahan cerita, Zali pun meluahkan perasaannya kepada Natasha setelah dapat memberani dan meyakinkan diri.
“Natasha, I cintakan you,” kata Zali. Ucapan itu dibisiknya ke telinga kanan Natasha.
Natasha beralih memandang Zali. “Apa?” tanya Natasha, berpura-pura tidak mendengar. Hatinya sudah menjerit gembira. Kata-kata itulah yang ditunggu-tunggunya daripada Zali. Mudah untuk mengikis jika statusnya di samping Zali sebagai kekasih.
“I love you,” kata Zali. Dan kini tangan Zali spontan memegang tangan Natasha.
Skrin di depan tidak lagi dalam pandangan Natasha. Walaupun sejak tadi dia kelihatan tekun mengikuti filem yang ditayangkan. “Kenapa ni? You sihat ke, Zali?” tanya Natasha.
Natasha masih membiarkan tangannya digenggam Zali.
“I cintakan you sejak pertama kali memandang you,” kata Zali terus terang. Kali ini pergi jauh dengan mencium tangan Natasha itu. Cinta membuatkan Zali berani. Dan juga berahi. Natasha membiarkan sahaja bibir basah Zali itu mengucup tangannya. Kemudian melemparkan pandangannya ke skrin.
Zali menarik tangan Natasha. Meminta perhatian.
Natasha kembali memandang ke arah Zali. “Apa?” tanya Natasha, berlagak tidak mengerti.
“You terima cinta I ke atau tak?” tanya Zali yang tidak sanggup menunggu lama jawapan Natasha. Penantian adalah perit yang pedih.
“I dah beri you pegang dan cium tangan I, maknanya I terimalah ...... " Natasha tersenyum.
Mata Zali mekar dengan sinar. Bibirnya menguntumkan senyuman manis. Lalu mencium tangan Natasha sekali lagi dan berterima kasih kepadanya.
Natasha mengangguk. “Saya percaya cinta pandang pertama,” katanya sejurus itu. Kemudian merebahkan kepalanya di bahu Zali.
Zali meramas tangan Natasha yang masih digenggamnya itu. Dan Natasha membalasnya.
Mereka memandang ke skrin di hadapan. Tapi sebenarnya tenggelam di dalam diri masing-masing. Berahi cinta mula menggelegak.



No comments:

Post a Comment