Pages

Monday, December 3, 2012

TLC 4




Bab 4

4.1

Pada asalnya, Natasha merasa rancangannya begitu mudah : Goda – kikis sedikit – berlakon jadi kekasih – kikis habis – dan tinggalkan. Semua itu akan mengambil masa dalam tiga hingga empat bulan sahaja seperti selalu. Tetapi dengan Zali, percintaan palsu itu telah mengambil masa selama lebih tiga tahun sekarang. Terlalu sukar bagi Natasha untuk melafazkan perpisahan yang telah dirancangnya lebih awal itu. Sukar kerana Natasha sudah berperasaan terhadap Zali. Semakin hari, rasa simpatinya kepada Zali semakin membukit : Lelaki itu terlalu baik untuk ditinggalkan. Dan merasa lebih terharu kerana Zali sanggup buat hampir apa sahaja untuknya : Beli apa sahaja yang diinginkannya biarpun terpaksa berhutang bank, ambil cuti untuk menjaganya ketika sakit, dan yang paling mengharukan bila Zali sanggup buang keluarganya sendiri demi cintanya. Kerana tidak sampai hati untuk memutuskan percintaan palsu itu, Natasha pun mula cuba belajar menyintai Zali. Dari sehari ke sehari Natasha mula memupuk cintanya kepada Zali. Memang sudah dirasainya cinta itu mulai tumbuh sedikit demi sedikit. Tetapi cinta yang mula berpucuk itu akhirnya tumbang bila Zali mengalami krisis kewangan. Gaji bulanan Zali tidak lagi mampu menampung perbelanjaan bulanannya : duit sewa rumah, duit ansuran bulanan untuk dua buah kereta (keretanya dan Natasha), hutang kad kredit, bil telefon, air, elektrik dan duit belanja harian telah melebihi pendapatan yang diperolehinya setiap bulan. Dan cinta Natasha yang masih muda itu pun
layulah. Rupa-rupanya cinta Natasha itu hanya mampu tumbuh semasa dicurah mewah wang ringgit dan harta benda sahaja. Bila dompet Zali mula kempis, cinta Natasha itu
pun terus menipis. Hari ini, Natasha memutuskan untuk meninggalkan Zali kerana telah dijanjikan syurga oleh lelaki lain. Cintanya terhadap Zali sudah mati.
Empangan Mengkuang itu tenang saja pada waktu itu. Tiada keriuhan kumpulan anak-anak muda yang bergebang di wakaf besar atas bukit kecil dan tebing-tebing tasik itu seperti biasa. Dan juga tidak banyak keluarga yang bersiar atau bersenam di empangan itu seperti lazimnya. Yang ternampak hanya sepasang anak muda yang sedang duduk di tebing tasik itu dan tiga buah keluarga yang sedang bersiar di sekitar empangan itu. Terbentang di hadapan mereka ialah sebuah tasik tenang. Gagah di sebelah kanan pula ialah bukit bukau. Dan kukuh di belakang ialah bukit Mertajam.
Zali melepaskan pandangannya dari menara peninjau berwarna hijau di hadapannya itu. Kemudian meneliti pula pohon larch di hadapannnya dari puncak hingga ke pangkal. Selepas itu baru merenung semula Natasha selepas masing-masing membisu lama tadi. “Apa perkara yang you nak bincangkan dengan I?”tanya Zali kepada Natasha, perempuan yang sudah dicintainya selama tiga tahun lebih itu. Banyak masa, wang dan tenaga telah dikorbankannya untuk kekasih yang sangat dicintainya itu.
Natasha bangun dari bangku batu lalu berjalan di laluan pejalan kaki. Belum berkeinginan hendak menjawab soalan Zali itu. Sudah tiga tahun dia menipu Zali. Terperangkap dengan perasaannya sendiri. Dan kini perlu lebih berhati-hati mengawal situasi.
Zali yang sudah pun berjalan di samping Natasha mengulang tanya lagi : “Apa hal you nak cakap dengan I ni, Natasha? Sampai terpaksa suruh I ambil cuti ni.”
Natasha sedang mengumpul segala kekuatan yang ada di dalam dirinya. Keputusan sudah pun diambilnya sejak lama dulu. Tetapi hajatnya untuk memberitahu Zali perkara yang sebenar itu sentiasa tersekat di pertengahan jalan. Tetapi kali ini lain.
Tidak mahu berpura-pura di depan Zali lagi. Lagi pun ini soal hidup dan matinya. “I rasa … kita patut …”

“Biawak!” kata Zali tiba-tiba, merentatkan kata-kata Natasha yang sedia gagap dalam gugup itu. Zali menunjuk ke arah satu bahagian di tebing tasik itu. Seekor anak biawak dilihat sedang mengawasi sesuatu, menjelir-jelirkan lidah bercabangnya sebelum menggelecah lari menuruni tebing dan sebentar selepas itu terdengar air tasik itu bedecup.
Natasha menggerutu di dalam hati. Tidak selesa dengan celahan Zali tadi. Celahan itu menyukarkan Natasha. Kini Natasha terpaksa mengumpul semula kekuatan yang terbang bercempara entah ke mana demi untuk meneruskan bicara terus terangnya itu nanti. Natasha sendiri tidak pasti mengapa dia berkeadaan begitu. Bukan waktu itu sahaja tetapi selama tiga tahun lebih itu.
Langit jernih. Tiada segumpal awan pun yang tersemat di dada langit itu. Seluruhnya seperti disimbah dengan cat biru. Dan kebiruan itu memberi ketenangan kepada Natasha. Ketenangan yang amat diperlukannya ketika itu. Setelah lama memandang langit, akhirnya terbit semula segumpal kekuatan di dalam dadanya. Kini Natasha bersedia memulakan bicara terus terang itu semula.
“I rasa kita patut berpisah, Zali,” kata Natasha, terus berterus terang. Kata-kata yang disimpannya sejak sekian lama itu akhirnya terkeluar juga dari peti suaranya. Serius, bukan main-main seperti kebiasaan dulu.
Zali memandang muka Natasha, tergelak kerana menganggap Natasha berseloroh. Natasha memang kerap berkata begitu di awal percintaan mereka dulu.
“I serius ni, Zali,” kata Natasha lagi, berhenti di tepi pokok bunga kertas yang memisahkan lalaun pejalan kaki dan jalan bertar itu. Cuba mengiakan realiti itu kepada Zali.
Zali tergelak juga. “You janganlah main-main Natasha. Kita kan pasangan bahagia. I cintakan you. You cintakan I.”
Natasha merenung muka Zali. “I serius Zali!” kata Natasha dengan suara dan muka serius.
Memek muka Natasha itu mula perlahan-lahan meyakinkan Zali. Sekawan ketakutan mula menyerang hatinya. Selain perasaan takut yang datang seperti sekawan semut api yang menggigit hati itu, tanda tanyalah yang paling bergema di dalam hatinya. Dipandangnya muka Natasha dalam-dalam sebelum bertanya dengan gugup
 : “Ke … kenapa?” Pertanyaan itu memecah kediaman dan kesepian kawasan itu.
Natasha mengeluh pendek. Cuba mengawal keadaan supaya tidak begitu getir. “Don’t ask me why because it will hurt you,” jawab Natasha.
Zali mula benar-benar takut. Tidak ditemuinya riak main-main pada air muka dan kata Natasha. “Ta … ta … tapi I nak tahu juga kenapa,” kata Zali. Cuba bertegas dalam gigil dan getar suara.
Natasha meneruskan langkah. Sambil menghayun kaki dia pun menjawab : “Sebab I dah tak cintakan you.” Ringkas tetapi cukup kejam.
“You tak cintakan I lagi?!” Zali berang. Alasan itu benar-benar mencabar kesabarannya. Begitu mudahnya Natasha mengucapkan alasan itu juga menyiat-nyiat hatinya. Pedih. Perit.
Keadaan meruncing itu kini diam seribu bahasa – sunyi sedetik. Natasha tidak mahu terburu-buru memberikan jawapan. Ketenangan adalah ubat paling mujarab di
dalam apa jua keruncingan. Kata mengikut hati, bukannya kepala, cenderung untuk menjadi bahaya. Natasha mengunci lama mulutnya. Memberi masa untuk mereka bertenang.
Tetapi kesabaran Zali menunggu jawapan Natasha itu runtuh dicabar masa. Lalu Zali membuka mulut untuk bertanya : “Kenapa Natasha? Kenapa? Kenapa? Apa yang tak cukup pada diri I? Apa benda yang I belum beri pada you?” Soalan keluar bertubi-tubi dari mulut Zali. Satu lepas satu seperti peluru-peluru meninggalkan mesigan.
Natasha tetap membisu. Menghayun langkah.
Akibatnya, Zali menarik tangan Natasha, mencekak erat pergelangan tangannya. Natasha terpaksa memberhentikan langkah, merenung muka Zali dengan radang sebelum meronta minta dilepaskan. “Lepaskan I Zali. Lepaskan I!” Tangannya bukan habuan Zali lagi.
Zali tidak mahu akur dengan permintaan Natasha itu. Terus mencekak erat pergelangan tangan Natasha. Kini mencabar pula mata Natasha. Memang sudah tidak dapat ditemuinya gambaran cinta di dalam mata itu seperti dulu. Apa yang tergenang di dalam mata itu kini ialah gambaran kebencian yang kian banyak.
“I kata lepas Zali! Lepas!!!” jerit Natasha. Selama ini ugutan memang berkesan ke atas Zali. Dulu, jika kehendaknya tidak dituruti memang ugutanlah yang selalu digunakannya untuk mendapatkan sesuatu. Bila dia kata mahu pulang sendiri kerana tidak selesa duduk di rumah emak Zali sama ada Zali mahu ikut atau tidak, Zali cepat-cepat bersetuju untuk pulang bersamanya walaupun pada awalnya mengeras. Ugutan
memang salah satu senjata utama perempuan. Dan dia menggunakan senjata itu dengan berkesan.
Zali teragak-agak tetapi sudahnya melepaskan juga tangan Natasha itu perlahan-lahan. Wajah Zali pucat pias seperti baru lepas nampak langsuir. Itu kali pertama Natasha menjerit terhadapnya. Dan untuk kali pertama itulah Zali seperti baru melihat muka sebenar Natasha yang selama ini sedaya upaya disorokkan oleh Natasha di sebalik senyuman pura-puranya. Mata Zali kini merayap di muka Natasha. Mencari kebenaran realiti yang sedang dialaminya sekarang. Mengapa Natasha berubah? Di mana silapnya?
Natasha cuba bertenang kembali. Kakinya tidak hendak menapak pula. Statik menghadap Zali. Berani.
“I love you, Natasha,” kata Zali lembut, menagih simpati.
Natasha mengeluh pendek. Dia sudah muak mendengar ucapan cinta itu. Tiga perkataan keramat itu tidak lagi melemahkan dirinya seperti dahulu. Ayat romantis itu
tidak lagi menjadi puaka jika ianya keluar dari mulut Zali. Zali, baginya, tidak lebih dari orang biasa sahaja sekarang. Sudah tiada lagi simpati yang mengalir atau tergenang di dalam dadanya untuk lelaki itu.
“I love you, Natasha. Really love you,” kata Zali, merayu-rayu kepada Natasha yang tegak macam patung batu itu.
“Kebahagiaan tak akan hidup di atas kata-kata saja, Zali,” jawab Natasha. Sewaktu masih ada cintanya terhadap Zali, mereka berkongsi pelbagai impian. Impian untuk menjadi pasangan paling bahagia di atas dunia ini. Impian untuk membina sebuah keluarga yang bahagia. Impian untuk memiliki banglo, kereta mewah, emas segedung
dan tanah berelung. Tetapi kian lama Natasha mula merasai semua impian itu semakin berjarak dengannya. Semua impian itu hanya dibina atas kata retorik romantis semata. Zali tentu tidak mampu mengotakan semua impian itu. Jika Zali tidak dapat merealisasikan semua impian itu, sudah sewajarnyalah dia mencari lelaki lain yang lebih berkemampuan untuk menjadi galang ganti kepada Zali. Kini, dia sudah ada calonnya. Memang calonnya itu, Malik, tidak semuda atau sekacak Zali tetapi harta Malik cukup untuk menawarkan ‘kebahagiaan’ kepadanya, fikir Natasha.
Zali terdiam. Kepalanya berfikir ligat mencari maksud yang tersorok di balik serimbun kata Natasha itu. Dulu, tiga perkataan itulah yang menjadi mantera mustajab untuk memujuk Natasha. Baik ketika Natasha merajuk atau sewaktu nafsu syahwatnya terhadap perempuan itu memuncak. Tiga perkataan itulah yang gemar didengar oleh Natasha sehingga pernah bermasam muka dengannya kerana dia terlupa hendak
menyebutnya selama tiga hari. Tetapi mengapa Natasha seperti meluat bila mendengar mantera itu sekarang. Arghhh, orang sudah benci, semuanya dirasa basi, getus hati Zali.
Sekumpulan burung layang-layang terbang lincah mengelilingi menara susutan dan air limpah empangan itu. Melayah laju lintang melintang membentuk formasi-formasi yang mendebarkan. Kemudian, kumpulan layang-layang itu terbang mengejut entah ke mana bila seorang anak kecil lelaki melontar beberapa ketul batu ke arah kumpulan layang-layang itu. Ditegur oleh bapanya : “Kita perlu sayangkan semua makhluk Tuhan termasuk haiwan. Barulah orang akan sayangkan kita.” Perlahan-lahan anak kecil itu melonggarkan genggaman tangannya dan gugurlah beberapa batu kecil dari tangannya. Membiarkan anak biawak yang sudah ditenangnya itu tadi merangkak perlahan sebelum lari lintang pukang mencari tasik semula. Di rimbun pokok bunga jarum berwarna merah, yang sebaris dengan pokok bunga kertas berwarna ungu itu, seorang anak kecil perempuan itu sedang seronok mengejar beberapa ekor rama-rama kuning yang menghurung bunga jarum berwarna merah itu. Rama-rama kuning itu sekejap terbang terapung-apung seperti sengaja mengacah anak kecil itu untuk mengejarnya dan sekejap bertenggek di atas bunga-bunga jarum itu sambil mengibar-ngibarkan sayapnya seperti sedang melepaskan lelah bermain.
“I really love you, Natasha,” kata Zali, perlahan, terdengar sayu. Mengharap kata-kata itu masih ada kesan magisnya. Magis yang diperlukan untuk mengubati apa jua penyakit yang sedang merebak di dalam hati Natasha. “I really love you, Natasha,” ulang Zali lagi. Kesayuan lebih terasa dengan kesungguhan Zali itu.
Tetapi kesayuan itu tidak memberi apa-apa kesan kepada Natasha. “Ya, ya, ya. I tahu yang you betul-betul cintakan I. Masalahnya ialah I yang tak cintakan you lagi. You faham?” jawab Natasha.
“Kenapa?” Zali tuntut diperjelaskan. Tiba-tiba telinganya terngiang-ngiang kata-kata Natasha dahulu : “I will love you forever.” Serentak itu Zali merasa dikhianati.
Mengapa Natasha sanggup bermungkir? Siapakah yang sudah mencuri hati Natasha? Apakah janji yang telah digula-gulakan oleh lelaki itu? soal hatinya.
Natasha keberatan hendak menjawab. Tetapi terpaksa juga bersuara kerana tahu Zali tidak akan membenarkannya pergi begitu sahaja selagi tidak mendapat penjelasan sepatutnya. Mahu menamatkan pertemuan itu secepat mungkin. Ada temujanji dengan
Malik malam nanti. Perlu pulang awal untuk bersiap. Berendam setengah jam, memilih baju sejam dan bersolek sejam. Masanya terhad jika terus lama di situ.
“Sebab you tak dapat berikan I kebahagiaan lagi. Kemewahan lagi. Dua bulan lepas, I pula yang terpaksa keluar duit untuk bayar ansuran kereta I tu. Tiga bulan lepas, I juga yang terpaksa bayar insuran dan cukai jalan kereta I tu. I tak nak hidup macam tu lagi. Akaun bank you pun dah kering. Habuk pun tak ada,” jawab Natasha.
“You dah tak cintakan I sebab I dah tak berduit?” tanya Zali, marah.
“I tak nak hidup susah,” balas Natasha, mula berjalan laju menuju ke arah tempat letak kereta. Wiranya yang wang pendahuluannya dulu dibayar oleh Zali pakir di sana.
“Sebab I tak berduit?” tanya Zali, mengejar Natasha.
“Kita putus, kita putus. Jangan pujuk I lagi. Jangan tanya apa-apa lagi,” jawab Natasha, terus sahaja berjalan tanpa menghiraukan Zali.
Zali memegang lengan Natasha. Natasha berhenti melangkah dekat rimbun pokok jarum itu. Kejadian itu mendapat perhatian sebuah keluarga yang baru tiba di tasik itu tadi. Anak kecil perempuan yang tadinya seronok bermain dengan rama-rama kuning itu kini memerhati mereka dengan penuh minat.
Natasha mengalis. “Kenapa dengan you ni, Zali?!” tanyanya diiringi oleh jegil mata.
“Cinta kita boleh atasi kekurangan itu. Duit bukan segala-galanya, Natasha,” kata Zali. Sedih mukanya. Takut hatinya.
“Cinta?” ajuk Natasha, tergelak. “Itu untuk you. Untuk I duit penting untuk memelihara cinta I. Cinta I boleh luntur tanpa duit,” jawab Natasha, kemudian merentap tangannya dan terus berjalan laju ke Wiranya.
Zali mengejar Natasha hinggalah ke Wira.
Sebelum beredar, Natasha membuka tingkap kereta dan berpesan : “Lupakan I Zali. Jangan cuba ganggu I. Kita putus di sini. Jangan cuba cari I lagi.” Kemudian Natasha menaikkan semula tingkap keretanya itu.
Zali yang tidak tentu arah itu cuba menahan tingkap kereta itu dari tertutup. Tetapi tidak berdaya dan akhirnya dia mengetuk-ngetuk tingkap itu sambil menjerit-jerit memanggil nama Natasha.
Natasha tidak peduli. Terus memandu laju dan keluar dari empangan itu. Zali yang cuba mengejar berhenti di tengah jalan setelah merasa sia-sia dan hanya mampu melihat Natasha yang semakin meninggalkannya.
Sekarang, Zali duduk sambil menekup mukanya di sebuah bangku batu di empangan itu. Latar hitam yang terbentuk di depannya menyediakan skrin untuk
kenangan diputarkan oleh filem memorinya. Dinampaknya saat-saat indah yang pernah dikecapinya bersama Natasha. Di tepi pantai, di kebun bunga, di atas ranjang dan tiba-tiba filem itu diganggu oleh kata pedih Natasha tadi : “ You tak dapat berikan I kebahagiaan lagi. Kemewahan lagi. Cinta I boleh luntur tanpa duit.”
Dan tiba-tiba latar hitam itu pun berkabus kerana kehibaannya. Filem memori itu mati. Zali menangis teresak. Air mata lelaki itu gugur kerana seorang perempuan, kekasih, yang telah mengkhianati cintanya.
Langit mula digores jingga. Senja pun menjelma.

4.2

Cinta bukan saja cenderung untuk buta tetapi sewel juga. Cinta yang sewel adalah cinta yang sakit.
Matahari sudah bersemayam di dada siang dan bulan sudah pun beradu di dada malam sebanyak tujuh kali. Sudah seminggu sekarang sejak peristiwa pahit di Empangan Mengkuang itu. Dalam seminggu itu, Zali tidak pernah senang duduk. Kepalanya ligat mengenangkan alasan Natasha meninggalkannya itu. Makin dikenang makin hatinya terhiris ngilu. Tetapi tidak juga dia sanggup berpisah dengan Natasha. Seluruh malamnya dihabiskan untuk mencari jalan supaya percintaan yang sudah terbelah, yang dulunya tidak disedari retak itu, dapat dicantumkan semula.
Zali menghantar tiga buah mesej ringkas kepada Natasha melalui SMS. Tiga mesej ringkas itu berbunyi begini :
1) Natasha, I love you forever.
2) Natasha, I minta maaf kalau I ada buat silap. Tolong jangan tinggalkan I. I need you.
3) I tak boleh hidup tanpa you.
Ketiga-tiga buah mesej terbaru yang dihantar Zali itu menjadikan bilangan mesej yang sudah dihantarnya sejak seminggu lalu mencecah tiga puluh buah mesej. Dalam sehari selama seminggu itu, purata Zali menghantar mesej kepada Natasha ialah lebih kurang empat buah mesej. Tetapi kesemua mesej itu tidak dibalas walaupun sebuah oleh Natasha. Itu jalan terakhir buat waktu itu untuk Zali menghubungi Natasha setelah
panggilan telefonnya ke telefon bimbit, rumah dan pejabat Natasha tidak dijawab Natasha. Hanya operator telefon, rakan sepejabat, kakak dan bapa Natasha yang selalu menjawab panggilannya itu. Dan semalam, bapa Natasha sudah pun memberi amaran : “Jangan diganggu dia lagi. Natasha sudah pun membuat pilihan!”
Zali tercengang di corong sebelah sini bila mendengar amaran dari mulut bapa Natasha itu. Dia belum pun mengadu hal kepada bapa Natasha. Tetapi yang jelasnya bapa Natasha memang sedia maklum tentang hal itu. Zali yakin tentulah amaran itu diketahui atau diluluskan oleh Natasha.
Zali tidak putus asa. Takkan putus asa sehingga dia dapat bersemuka dengan Natasha. Entah mengapa dia begitu yakin akan dapat menawan semula hati Natasha.
Baginya, seorang lelaki berhak terhadap mana-mana perempuan selagi perempuan itu belum diijabkabulkan. Zali pula merasa lebih berhak untuk memiliki Natasha berbanding
lelaki lain kerana perempuan itu sudah berpuluh kali tidur dengannya. Setiap inci tubuh Natasha itu sudah dihafalnya.
Maka, pada tengahari hari kelapan sejak peristiwa di empangan itu berlaku, Zali pun menunjukkan dirinya di syarikat Natasha. Natasha bekerja sebagai pembantu peribadi kepada CEO sebuah syarikat. Zali datang bersendirian. Berlagak seperti seorang lelaki sejati.
Lobi syarikat itu besar. Dua buah lif yang berjarak dua puluh meter mengapit sebuah kaunter pertanyaan yang panjang. Kaunter pertanyaan itu dihuni oleh dua orang penyambut tetamu. Zali pergi kepada salah seorang dari mereka, yang bernama Eka.
“Boleh saya bantu, encik?” tanya Eka, bernada selembut habis dan tersenyum semanis mungkin. Penyambut tetamu sepertinya memang wajib kaya dengan ketertiban. Senyuman pula adalah kembar mereka.
“Cik, saya nak berjumpa dengan cik Natasha, P.A,” jawab Zali.
“Encik ada buat appointment dengan Cik Natasha?” tanya Eka.
Zali menggeleng. “Beritahu Cik Natasha yang kawannya mahu berjumpa,” balas Zali.
Eka membuat panggilan ke pejabat ketua pegawai eksekutif. Telefon di meja kerja Natasha itu berdering. Diangkat, bercakap dengan Natasha dan ditanya nama kawan yang mahu berjumpa dengannya. “Siapa nama encik?” tanya Eka kepada Zali.
“Saya Za … err … Amran,” jawab Zali, terpaksa menipu kerana tahu Natasha tidak mungkin mahu bertemu dengannya. “Amran, rakan sekelasnya semasa di sekolah menengah dahulu,” sambung Zali. Zali memang sudah merancang perkara itu sejak semalam. Tetapi nyaris-nyaris juga tersasul. Dia yakin Natasha akan mudah mengingati nama itu. Natasha dan Amran dahulu berkawan baik. Malah Natasha pernah
memberitahunya teringin hendak bertemu dengan Amran lagi setelah mereka berpisah selepas SPM. Amran ke luar negara dan sampai sekarang tidak diketahui khabar beritanya.
“Cik Natasha, Encik Amran yang menunggu di lobi sekarang,” kata Eka.
Eka berhenti bercakap, mendengar suara Natasha di corong sebelah sana, dan kemudian bersuara mengesahkan : “Encik Amran. Ya, encik Amran.” Meyakinkan Natasha yang terperanjat kerana tidak menduga akan dikunjungi oleh Amran.
“Baik, baik. I’ll be there in five minutes,” jawab Natasha.
Eka meletakkan gagang telefon, memandang Zali lalu tersenyum sebelum memberitahu yang Natasha akan turun ke lobi itu lagi lima minit. Kemudian meminta Zali duduk di ruang menunggu di lobi itu.
Natasha terlalu gembira. Gembiranya tidak terkata. Bangun dari kerusi, tinggalkan meja dan bergegas ke tandas untuk merapikan diri terlebih dahulu. Betulkan rambut, tempek bedak di pipi dan calit gincu di bibir. Perlu kelihatan cantik kerana Amran adalah bekas teman lelakinya semasa di sekolah menengah dahulu. Mereka berpisah selepas Amran terbang ke luar negara untuk melanjutkan pelajaran. Kemudian Natasha keluar dari tandas dan terus ke lif. Bila pintu lif itu terbuka, Natasha berselisih
dengan ketua pegawai eksekutif syarikat. Natasha mati langkah, tidak jadi melangkah masuk ke dalam lif, membiarkan ketuanya itu melangkah keluar dahulu.
“Good afternoon, Encik Malik,” ucap Natasha, formal. Malik inilah yang berjaya menyingkirkan Zali dari terus bertakhta di hati Natasha. Malik inilah yang hartanya menjadikan Natasha pengkhianat terhadap cinta Zali.
“Good afternoon. Where are you going, Natasha?” jawab Malik, tersenyum. “Lagi satu, jangan panggil I encik lagi. Panggil saja Malik. Dah banyak kali kita keluar. You tu bakal isteri I. Jangan formal sangat,” sambung Malik, berpesan. Perkahwinan mereka sudah pun ditetapkan dua minggu lagi. Malik sudah pun menghantar rombongan menetapkan hari seminggu lepas. Tarikh perkahwinan itu dipersetujui oleh pihak keluarga Natasha.
Muka Natasha merah. Mengerti malu. Dia belum biasa dengan Malik. Belum pun kenal hati budi Malik sepenuhnya. Tetapi sebagai ketua, Malik memang orang atasan yang baik. Sentiasa menjaga kebajikan orang-orang di bawahnya. Itu sudah cukup buat Natasha. Dan selebihnya, duit akan menampal mana-mana yang kurang. Duit itu adalah bahagia. Dan bahagia itu adalah duit. Itu yang terpahat di dalam cepu kepala Natasha selama ini.
“I nak ke lobi,” jawab Natasha.
“Okeylah. I masuk dulu. Jumpa I selepas you balik dari lobi nanti. Ada hal penting nak bincang dengan you,” kata Malik, beredar dari situ.
Natasha masuk ke dalam lif yang pintunya terbuka semula itu. Tersenyum sendirian di dalamnya kerana mengingatkan saat-saat bertemu Malik tadi. Malik memang
agak tua. Beza umur mereka ialah lima belas tahun. Malik seorang duda tanpa anak. Isterinya meninggal disebabkan leukimia sepuluh tahun lalu. Natasha memang tidak menyangka Malik ada menyimpan hati kepadanya. Dan tiba-tiba sahaja, tiga bulan lalu, Malik ke rumahnya dan berterus terang menyatakan hasrat hendak memperisterikannya
di depan bapanya. Malik yang kaya raya itu mudah memikat hati bapanya dan juga dia sendiri.
Lif itu sampai ke tingkat bawah di mana lobi terletak. Pintu lif itu terbuka dan mata Natasha mencari kaunter. Eka yang sejak tadi menunggu Natasha datang terus tersenyum dan mengarahkan jarinya ke ruang menunggu. Natasha berjalan terus ke ruang menunggu itu.
Ruang menunggu itu dikelilingi oleh beberapa tiang empat segi yang besar. Dan setiap tiang itu dihiasai pula dengan pokok palma yang ditanam di dalam pasu bunga besar. Zali yang duduk di sebuah sofa bujang di balik tiang dan pokok palma tot itu terbidas tegak bila telinganya menangkap derap tumit kasut menuju ke arahnya. Zali memang sengaja memilih untuk duduk di sofa bujang itu. Tidak mahu dirinya terdedah awal pada pandangan mata Natasha. Kini, Zali sibuk membetulkan kemeja sambil berdiri tegak dan bersedia bersemuka dengan Natasha.
Langkah Natasha terhenti. Dirinya kaku, matanya memaku tajam muka Zali. Hatinya pula bergelora dengan ombak marah menggunung. Sedar dirinya tertipu. Kegembiraan lesap. Kemarahan timbul. Natasha pantang ditipu walaupun dia gemar menipu.
Zali tersengih tak malu. “Na …”
Natasha membelakangi Zali dan terus melangkah laju meninggalkan ruang menunggu itu. Tidak mahu mendengar apa-apa rayuan dari Zali lagi. Sudah bosan dengan pujuk rayu Zali. Semua mesej Zali itu telah dibuangnya di dalam tong sampah maya. Tidak membaca walaupun sebuah.
Zali berjalan pantas, tidak mahu Natasha berlalu pergi begitu sahaja seperti hari itu. Lalu memegang tangan Natasha. Tetapi yang diperolehinya :
“Hey, apa yang you buat ni?! Pergi dari sini! Get out of my face!” tengking Natasha, merentap pergelangan tangannya dan berlari anak ke kaunter pertanyaan.
Zali terus mengikut Natasha. Tidak mempedulikan tengkingan yang baru diterimanya. Tidak kisah Natasha menghalaunya seperti anjing kurap. Malunya pada diri sendiri dan orang sudah tiada.
“Eka, tolong panggilkan pengawal keselamatan. Usir dia dari sini,” arah Natasha, menunjuk ke arah Zali.
Eka yang kehairanan melihat muka Natasha untuk kepastian.
“Cepat!!!” kata Natasha.
“Tapi Cik Natasha, Encik Amran ni kan kawan sekolah cik dulu,” balas Eka, masih ragu-ragu untuk mengikut arahan Natasha.
“Dia ni buka Amran. Dia ni Zali! Orang gila!” kata Natasha, berdiri di belakang kaunter pertanyaan itu.
Eka sudah menekan nombor telefon ke pejabat keselamatan, menunggu panggilan itu dijawab tetapi mematikannya selepas Zali berkata akan beredar dari situ. Ketika itu
Zali berasa begitu kerdil. Tidak berkuasa walaupun hanya berdepan dengan seorang peyambut tetamu. Zali membawa diri ke pintu utama lalu keluar.
Natasha ke lif yang pintunya baru terbuka. Masuk ke dalamnya dan naik ke tingkat paling atas. Dan melalui dinding kaca itu, Zali memerhati deretan butang di
kepala luar lif itu. Butang yang tertera angka lima belas terakhir menyala. Zali tersenyum, mendapat jalan baru.
Zali ke restoran berdekatan. Minum milo ais untuk membasahkan tekak. Kemudian kembali ke bangunan setinggi lima belas tingkat itu. Melangkah masuk tanpa memandang ke kaunter pertanyaan dan terus ke lif. Masuk ke dalam lif selepas pintunya
terbuka lalu menekan butang berangka lima belas selepas pintu lif itu tertutup. Zali diangkat ke tingkat lima belas.
“Cik, boleh saya berjumpa dengan Cik Natasha,” tanya Zali kepada seorang perempuan muda yang duduk di meja paling hadapan di pejabat ketua pegawai eksekutif itu.
Perempuan muda itu terpinga-pinga tetapi tetap menjawab : “Cik Natasha di bilik bos sekarang.” Kemudian perempuan muda itu menunjuk ke arah sebuah bilik di sudut kanan pejabat itu.
Zali tidak berlengah-lengah lagi. Melangkah panjang ke situ. Tidak menghiraukan suara perempuan muda itu yang menyuruhnya menunggu di sebuah bilik menunggu berhadapan dengan mejanya itu. Sebaik sampai di depan pintu bilik yang berplak ‘CEO :. Encik Malik Roslan.’ itu, Zali terus menolak daun pintu itu. Pintu bilik itu terkuak dan
Zali melangkah masuk tanpa rasa takut. Kehadiran Zali yang tiba-tiba itu memeranjatkan Malik dan Natasha yang sedang bergurau senda.
“Ooo. Inilah lelakinya, ya?!” jerit Zali, bila ternampak Malik sedang memegang tangan kanan Natasha yang jari manisnya sudah pun tersarung sebentuk cincin berlian. Di atas meja, sebuah kotak cincin berbaldu merah jambu sedang ternganga dan beberapa
keping kad perkahwinan contoh sedang tersusun. Malik meminta Natasha menemuinya untuk mencuba cincin berlian dan melihat beberapa kad perkahwinan contoh yang ditempah khas untuk majlis perkahwinan mereka nanti.
Natasha yang gamam kemudian terperanjat besar bila mendapati Zali sedang menyerbu Malik. Cuba ditahannya badan Zali dari terus mara tetapi tidak terdaya. Malik
yang tidak tahu hujung pangkal itu tertanya-tanya. Dan tanda tanyanya hilang seketika bila penumbuk Zali hinggap di mukanya. Malik tersungkur dan pandangannya berpinar sekejap. Kabur.
“Sial! Malik, you sial!!!” jerit Zali, menghempas plak nama yang tertera nama Malik itu. Plak nama itu diambilnya dari atas meja selepas menumbuk Malik.
Perempuan muda tadi bergegas masuk ke dalam bilik pejabat Malik yang didengarnya riuh rendah itu. Setelah melihat apa yang berlaku, perempuan muda itu tergesa-gesa keluar untuk menghubungi pejabat keselamatan pula.
Malik bangun dan memerhati Natasha dan Zali yang sedang bertekak.
“You mata duitan! Perempuan sial! Si tua keparat ni yang you nak?!” tengking Zali.
“I cintakan dia. I cintakan dia,” balas Natasha.
Zali mengalihkan perhatiannya kepada Malik semula. Malik sedang mengesat darah di bibir dengan tapak tangannya. Malik menjadi sekecil-kecilnya dalam pandangan Zali. Radang Zali melimpah ruah, menyerbu Malik lagi, mencekak kolar kemeja hingga menyebabkan Malik tercekau-cekau sebelum diselamatkan oleh beberapa orang pengawal keselamatan yang datang tepat pada waktunya.
Zali diseret keluar dari bilik itu. Sempat menjerit : “Sial! Perempuan sial! Siap engkau Malik!!!”
Natasha pula menyerbu ke arah Malik yang sudah pun tersandar di sebuah kerusi fleksibel. Muka Malik itu diperiksanya dengan penuh keprihatinan.




No comments:

Post a Comment