Pages

Monday, December 31, 2012

Sudara - Arena Wati


Sudara pada dasarnya menceritakan mengenai caping yang dipusakai oleh Raja Hamidah. Caping yang dipusakainya itu pula beserta dengan riwayat setiap pemiliknya. Secara langsung setiap riwayat itu bercerita tentang sejarah keturunannya. Sejarah keturunannya adalah sejarah Melayu Makasar. Membaca Sudara seperti membaca sejarah Melayu Makasar - hebatnya mereka di dalam pelayaran, perdagangan, peperangan dan sebagainya.

Membaca Sudara membuatkan aku tertanya-tanya : Apa sejarah keturunan aku?

Banyak bahagian Sudara yang menyentuh perasaan dan mengesankan. Contohnya pada muka surat 369, ketika Raja Aminah belayar bersama-sama putera dan puterinya :

Teyako lanre mattayang
Sossolok mangantalia
Kuboya minne
Rurunganna matekneya

"Nahkoda! Apa maknanya itu?" Raja Aminah meningkah.
"Tembang begitu selalu disenandungkan anak-anak ini ketika kami belayar dari Patani ke Ayutia dulu."
"Rindu dan harapan pelaut," kata Daeng Manek.
"Maknanya?"

Jangan putus asa menunggu
Jerah dalam penantian
Kini kucari
Iringan hidup bahagia

"Oh, puteraku, fahamkah apa yang dia dendangkan?"
"Biarkan dia rasa dalam hati saja dulu. Cara begitu lebih penting daripada memahaminya bagi dia sekarang."
"Apa gunanya dirasai tak difahami?" Raja Aminah menyanggah.
"Ada yang difahami, tetapi tidak dirasakan. Untuk apa yang begitu? Kalau dia rasakan, itu dia miliki. Kalau dia fahami, belum tentu dia sukai. Kelak akan tiba masanya dia fahami apa yang dia rasakan. Kelak kalau dia sudah mahir, dia rasakan apa yang dia fahami. Itu hakikat yang mesti dia dapat."
"Dengan cara menyeksanya di puncak tiang, dan menyanyikan lirik yang dia belum tahu?"
"Dia akan tau. Perasaan sukanya akan dera dia mencari untuk tau yang dia sukai. Cara begitu yang baik. Untuk apa dia sukai yang dia tidak tau?'
"Tau dan sukai?"
"Betul. begitu makrifatnya hidup. Usman mesti dapatkan itu."
"Tarekatkah ini nahkoda?"
"Bahteraku bukan madrasah. Laut dihindari sufi. Samudera dan bahteraku tempat mencari dan memahami hidup. Bukan gua batu atau bilik gelap tempat berzikir bermain kata dalam mimpi khayal. Makrifat tidak akan ditemukan dalam gua batu. Dia akan kita jumpai pada ombak di laut; pada daun, ranting, dahan, pokok, akar kayu di darat; pada bintang cakerawala; pada paruh, taji, kuku dan sayap unggas; pada tanduk dan gigi mergastua. Ini yang perlu difahami dan dilihat mata nurani."
"Begitu caranya kaji kitab nahkoda?" Raja Aminah mulai kagum tapi masih curiga kepadanya.
"Begitulah kami turun temurun."
"Puteraku akan diajar cara begitu juga?"
"Kalau dia bersedia. Laut tidak memaksa dan tidak mau dipaksa. Begitu juga manusia. Begitu samuderanya kehidupan ini. Biarkan tumbuh dan berkembang mengikut kanun tabiinya masing-masing."
Angin bertambah kencang dan ombak makin besar.....

Sudara adalah antara karya paling hebat Sasterawan Negara Arena Wati. Mengagumkan sama seperti karyanya yang paling dikenali - Sandera dan Sukma Angin.




Thursday, December 20, 2012

Hilang Yang Belum Kembali



Ingat tak posting aku Durian Oh Durian hari tu. Dalam posting tu aku ada janji nak cerita pada korang sebab musabab kenapa aku dah tak berapa nak makan durian sejak tingkatan 5. Posting kali ini untuk memenuhi janji tersebutlah.

Ceritanya begini :

Pada suatu hari.... (hehehe). Kita cerita santai-santai sahajalah ye tak....

Sudah dua kali. Kedua-dua kali itulah kami pulang dengan tangan kosong. Akhir-akhir ini hujan asyik turun pada sebelah malam. Bila pergi selepas hujan reda habuk pun tak ada. Yang diperolehi percuma kasut kotor dan baju basah dan aku sudah pun beberapa kali bersin tanda hendak dihinggapi selsema. Tadi bila kembali ke wing, dom kami itu, di tengah-tengah malam buta yang hening itu terhidulah semerbaknya aroma bau raja buah itu.
"Ada orang lebih awal daripada kita ," kata kawanku itu yang termengah-mengah datang ke bilikku itu.
Aku mengangguk. "Patutlah kita dapat habuk saje... . Kita cuba lagi esok. Kali ini kita turun awal," kataku.
Kawanku itu bersetuju.
Seperti yang dirancang, kami ke kebun durian di belakang MRSM Balik Pulau itu lebih awal daripada hari-hari sebelumnya. Kami berdua panjat tebing berbatu untuk sampai ke kebun durian yang dikatakan milik mrsm itu. Entah betul atau tidak, wallahualam. Tapi begitulah yang dikhabarkan dari mulut ke mulut sejak dulu.
Hujan merintik sebaik kami menjejakkan kaki ke kebun durian itu. Hujan yang merintik itu pantas pula bertukar lebat. Ah, sudah....
"Berundur ke?" tanya kawanku itu.
Aku menggelengkan kepala. Pantas. Menegaskan bahawa kami tidak akan berundur. Aku sudah nekad sejak malam tadi yang takkan pulang dengan tangan kosong hari ini. Malah terbawa-bawa hingga ke mimpi.
Beberapa minit kemudian, terdengar bunyi durian jatuh. Aku lihat kawanku. Kawanku lihat aku. Kami tersenyum. Terdengar bunyi durian jatuh lagi. Berselang seli di sebelah kanan dan kiri. Kami terus melangkah seribu. Berpecah dua. Hujan diredah. Angin ditentang. Setengah jam kemudian kami kembali berkumpul di tebing berbatu tempat kami naik tadi. Di tangan masing-masing ada tiga biji durian yang besar. Kami berbalas senyuman.
Buru-buru turun dan kembali ke blok asrama senyap-senyap. kami mengopek buah durian itu sebaik sampai di belakang blok asrama itu. Isi-isi durian itu kenyal, kuningnya menawan, rasanya lemak manis. Kami makan dengan gelojoh. Tidak mahu berkongsi dengan orang lain. Kami makan habis semua durian itu. Tiga biji seorang dalam satu malam!
Badan tak rasa panas pun. Elok saja. Aku sendawa kekenyangan beberapa kali. Memang nikmat malam tu...
Keesokan harinya aku bangun macam biasa. Pagi-pagi buta lagi, kawan aku tu datang ke bilik aku. Dia ajak aku ke kebun durian tu lagi malam nanti. Entah macamana aku geleng kepala - satu fiil yang tak pernah aku lakukan selama ini. Tiba-tiba keterujaanku untuk mengambil durian hilang. Padfa sebelah malamnya, kawan aku pergi dengan seorang kawan lain ke kebun durian tu. Mereka dapat tiga biji durian. Mereka mempelawa aku makan durian. Aku geleng kepala, menolak. Tiba-tiba seleraku pada durian hilang sekelip mata. Sejak itu kegilaanku terhadap durian hilang.
Kata orang, aku disampuk hantu durian. Entah betul entah tidak, tak tahulah.

Yang pastinya perasaan sukakan durian itu sudah hilang dan nampak belum mahu kembali.....




Friday, December 14, 2012

Lelaki Dengan 100 Suara



Terhibur aku tengok video ni :



Bakat dan potensi diri manusia, makhluk ciptaanNYA yang terbaik, memang tidak terjangkau dek fikiran kita kadangkala. Tetapi semua dengan izinNYA jualah....


Kesimpulan Mengapa Harimau Malaya Ditewaskan Gajah Perang




Malam tadi aku antara berjuta rakyat Malaysia yang terpacak di depan tv untuk mengikuti siaran langsung perlawanan bolasepak di antara Malaysia dan Thailand. Pasukan Malaysia bermain di bawah prestasi sebenar. Tapi itu dapat difahami kerana pasukan kita itu bermain di tempat lawan dan melalui beberapa siri layanan yang buruk daripada tuan rumah. Walaupun Thailand mengawal bahagian tengah dan menyerang bertali arus tetapi pertahanan kita berjaya menyerap tekanan. Serangan Thailand berjaya dipatahkan. Sehinggalah perkara di bawah ini terjadi :


kredit untuk kartunis ni


Jadi, kesimpulan mengapa Harimau Malaya ditewaskan Gajah Perang ialah : Pengadil Yang Tidak Adil sejak dari awal permainan. Banyak keputusannya lebih memihak kepada tuan rumah.

Apa pun aku bangga dengan Harimau Malaya. Selamanya Harimau Malaya!










Thursday, December 13, 2012

Novel-Novel Alaf 21 Untuk Terbitan Januari 2013

Inilah novel-novel terbaru Alaf 21 untuk terbitan bulan Januari 2013.




Tuesday, December 11, 2012

Lidah Pahit


Aku demam sejak sabtu lepas. Sebab tu tak kemaskinikan blog ni dalam masa tiga hari ni. Mula-mula pening sahaja. Gagahkan juga diri pergi tengok Pesta Hoki USM (nanti aku ceritakan). Balik daripada situlah badan mula panas. Hilang selera makan. Pagi esoknya lidah pahit. Sentuh makanan apa pun semuanya rasa pahit. Ahad tu aku tak jamah sebutir nasi pun (makanan yang wajib aku ambik tiap-tiap hari).
Pekerja aku kata makan limau campur garam. Dia ambik limau kasturi, potong kepalanya sikit dan lumur garam. Aku pun hisap le limau tu. Lepas tu cuba makan semula. Tak jadi apa pun.... Pahit macam tu jugalah. Lepas tu ada pekerja lain kata minum teh o manis panas. Aku pun laratkanlah diri teguk teh o manis panas (Kalau aku ada diabetes tak mahunya aku ikut petua ni). Tak berubah apa-apa pun. Pahit tu kekal dan kebal.
Semalam isteri aku beli jeruk asam (makanan ringan kegemaran aku ni). Aku pun kunyahlah asam tu sikit-sikit. Lepas tu baru rasa lidah tu tak pahit dah..... Tadi barulah makan apa pun terasa..... Kembalilah nikmat merasa aku yang hilang beberapa hari lepas tu...

p/s : Syukur. Nasib baik Allah beri semula nikmat merasa tu. Payah kalau lidah pahit ni. Hilang selera makan. Kalau hilang selera makan, jadi tak makanlah. Kalau tak makan badan pulak rasa lemah. Ubat yang diambil untuk mengubati demam yang selalunya diambil selepas makan tak dapat berfungsi dengan maksimum. Jadi demam pun lambat baik....



TLC 14



8.3

Cerpen abangnya itu benar-benar menusuk kalbu Zali. Begitu berkesan hingga Zali termimpikan Mak Su malam tadi. Mak Su yang dalam pakaian serba putih dengan wajah bercahaya dan berseri sedang memerhati dan tersenyum kepadanya tanpa sepatah kata. Kesannya, sebaik celik mata, Zali terus ambil keputusan untuk pulang ke kampung hari itu juga. Memohon cuti selama seminggu. Pihak pengurusan Bina Maju segera meluluskan permohonannya itu kerana ini kali pertama Zali memohon cuti. Alhamdulillah kerana kesihatannya baik sepanjang hampir dua tahun bekerja di situ. Dia komited dengan kerjanya sekarang. Tidak mahu mengulangi kesilapan lama. Berjaya memisahkan soal kerja dan soal peribadi. Seseorang tidak akan maju dalam kerjaya jika selalu membawa hal peribadi di dalam kerja. Dia mahu menjadi profesional.
Simpang empat – Parit Buntar – Pantai Remis – Segari – Batu 5 – Simpang Tiga – Pekan Bagan Datoh – dan akhirnya Kampung Teluk Penikam. Zali sampai juga ke kampung halamannya setelah memandu lebih empat jam dari Bukit Tengah. Teluk Penikam, kampung asalnya yang telah ditinggalkannya bertahun lama.
Kini, Zali sedang berada di dalam Iswaranya. Kereta itu diberhentikannya di bahu jalan. Mata Zali menyerkupi segala apa yang ada di sisi kanannya. Sebuah rumah, sebuah halaman rumah, sebuah pangkin, sebatang parit dan sebuah titi.

Friday, December 7, 2012

Najwa Latiff Derhaka?


"Saya tidak teringin langsung hendak tumpang populariti, atau mahukan duit mereka. Saya sendiri ada pendapatan yang kukuh. Apa yang saya inginkan ialah anak-anak datang berjumpa dengan serta memohon maaf sebelum saya menutup mata," kata bapa Najwa Latiff kepada Berita Harian.
"Cukup-cukuplah menjadi anak derhaka! Saya mengaku saya seorang yang garang, tetapi demi Allah, tidaklah sehingga naik tangan. Kecuali jika tindakan mereka benar-benar mencabar kesabaran saya, barulah saya berbuat demikian." 


Apa kata Najwa? Baca di sini
Baru terbaca artikel ni tadi. Memang tak belek suratkhabar atau layari portal-portal berita dua tiga hari ni. Apa pun kita harap 'Buang yang keruh ambil yang jernih'. Dan buat Najwa Latiff : Teringat lagu yang pernah didendangkan oleh Jamal Abdillah dalam Konsert di Istana Budaya. 
Kepada Najwa dengarlah bait-bait lirik di minit ke 2:20 lagu Kasih Ibu nyanyian Jamal Abdillah di bawah. Mudah-mudahan menginsafkan kita semua ...... In Sha Allah.....


"Kasihnya ayah sanggupkah berpisah. Dan kasih anaknya berkorban nyawa...." 


Di Sebalik Pedasnya Cili


Adoi, pedih mata dibuatnya. Terlupa basuh tangan lepas potong cili. Mata gatal tonyoh pakai tangan yang sama. Berkejaranlah aku mencari pili air. Berpijar jugaklah mata dibuatnya. Rasa panas dan kebas je sekeliling mata ni. Kenapa cili pedas? Cari-cari info sambil mata pedih akhirnya teringat pada satu artikel yang isteri aku pernah hantar dalam kotak Yahoo Mail hari tu.....







 Rasa pedas cili terhasil daripada sejenis bahan kimia yang dikenali sebagai kapsaisin (methyl-Nvanilil-6-nonemida).

Kapsaisin ialah sebatian yang bertanggungjawab ke atas takat kepedasan dalam cili di mana sebatian tersebut memiliki rantai kumpulan isodesenoik dihasilkan daripada asid lemak berbentuk trans.

Manakala bahagian vanililamina disintesis adalah berasal daripada asid amino fefnilalanina dan tairosina.

Antara faktor mempengaruhi kandungan kapsaisin dalam buah cili adalah daripada sefi variety, lokasi, geografi, keadaan tumbesaran, kaedah pemerosesan, peringkat kematangan dan lokasi bahagian anotami.

Malah, cahaya, suhu dan keadaan pembajaan juga boleh mempengaruhi jumlah kapsaisin di dalam cili.





TLC 13




8.2

Selepas beberapa hari barulah Zali mempunyai masa lapang untuk membaca cerpen di dalam Mingguan Malaysia yang diberi oleh Ana itu. Dia segera membuka ruangan sastera yang diisi oleh sebuah cerpen bertajuk ‘Pulanglah Adik.’ Lantas mula membaca cerpen itu tanpa melihat nama penulisnya.
Seluruh cerpen itu :

TLC 12




Bab 8

8.1

Ahad itu tenang saja pada mulanya. Zali bangun awal, bersembahyang subuh, bersarapan bersama Mokhtar dan kini sedang membasuh Iswaranya. Hatinya riang kerana akan keluar dengan Ana nanti.
“Demi cintaku padamu. Kukorbankan jiwa dan raga. Biar pun … “
Lagu ‘Fantasia Bulan Madu’ yang dipopularkan oleh kumpulan rock terunggul Malaysia, search, dinyanyikan oleh Zali. Walaupun suaranya tidak sehebat dan semantap suara Amy Search tetapi Zali tidak malu untuk menyanyikannya. Hati yang riang mengatasi segalanya. Sejak bercinta dengan Ana bukan sehaja hatinya riang tetapi terasa terisi juga. Dari Ana, banyak yang dipelajarinya. Tentang dugaan hidup, kecekalan, kesabaran dan pelbagai sikap murni lagi. Ana anak yatim piatu dan terpaksa mula menyara hidup sejak berumur lapan belas tahun tahun lagi. Pun begitu dia masih belum mengenali Ana sepenuhnya terutama latar belakangnya. Belum masanya, fikirnya, kerana tidak mahu Ana berduka jika dipaksa menceritakan kisah-kisah duka silamnya.
Iswara sudah pun dicucinya dengan sabun. Kini Zali sedang membilasnya dengan air. Sambil membilas Zali menyanyi. “Bisakah daku bertanya padamu. Dari mana datang sayang ini. Diredup matamu atau bisikan mesra. Adakah kerna sentuhan … ”
Tiba-tiba nyanyian Zali terhenti bila terdengar suara orang memanggil namanya. Lagu ‘Sentuhan Listrikmu’ milik M.Nasir itu terputus dari lidahnya. Zali bangun dari tinggung, melihat ke arah pintu pagar dan terkejut bila mendapati sesusuk tubuh yang berdiri tegak dengan senyuman sengaja dibuat itu ialah milik …

Wednesday, December 5, 2012

Aku dan Kereta



Semalam, aku cerita pasal Aku Dan Handphone. Hari ni aku nak cerita pasal aku dan kereta pulak. Kereta pertama aku ialah Wira 1.5 Auto tahun 1997.

Lebih kurang macam ni lah Wira pertama aku.

Second hand. Wira ni warna biru. Standard. Tak ada bikin sana bikin sini. Kecuali lowered sikit je. Itu pun sebab masa beli memang dah lowered. Enjin Mitsubishi 4G15nya memang tip top. Senang pulak nak selanggara. Alat ganti pun senang nak cari. Aku suka dengan Wira ni. Kalau bawak rasa steady sahaja. Tapi di sebalik semua kelebihannya itu, Wira ni aku lepaskan jugak. Trade in dengan.....

Waja.

Waja 1.8

Bukan Waja biasa tapi Waja 1.8! Masa beli pergi dengan arwah abah di kedai kereta second hand kenalan dia. Bila sampai sana kereta tu tersadai elok sahaja. Warna silvernya berkilau memikat. Maklumlah baru masuk dua hari lepas. Pasti kesan kerja polish pekerjanya masih pada tahap terbaik. Arwah abah terus jatuh hati. Dalamannya pun mengancam. Paling tak tahan tempat duduknya kulit sepenuhnya. Jurujual pulak pandai mengayat. Tapi mahal le. Aku masa tu baru umur 22. Kereta ni untuk orang dah berkeluarga. Tapi sebab arwah abah suka sangat kereta tu aku pun ambik je lah. Lagipun kenalan abah, tauke kedai tu, boleh tolong untuk luluskan pinjaman.
Senang je aku beli kereta ni. Tanpa slip gaji. Cuma guna penyata akaun bank, surat sokongan daripada syarikat penerbit novel dan surat akaun sumpah yang manyatakan aku ada pendapatan lain selain daripada bekerja dengan arwah abah. Masa tu aku mana buka akaun semasa lagi. Daftar berniaga pun masih nama arwah abah. Ini cerita dulu. Sekarang payah nak beli kereta.
Aku suka dengan kereta ni. Selesa sebab luas. Tempat duduk kulitnya sejuk bukan main. Mama aku yang memang suka tidur ketika dalam perjalanan bukan main lena. Memang dia ada kata tempat duduk kulit tu memang salah satu ciri yang dia suka pada Waja tu. Kalau pandu 140 km/j belum rasa apa-apa. Steady je. Aku biasa pandu 200 km/j Waja ni. Masa tu sebab nak pergi tengok perlawanan bola antara Perak dan perlis kat Stadium Ipoh. Bertolak dari Juru pukul 7.15 malam. Sampai kat Ipoh dalam pukul 8.15 malam. Sejam saja! Masa balik tekan 180 km/j. Tiba-tiba tayar pancit. Sikit lagi nak langgar penghadang jalan. Mujur sempat kilas stereng selepas memandang sekilas ke belakang melalui cermin pandang belakang. Itu kenangan aku dengan Waja ni.
Selepas lima tahun lebih guna, ia mula buat ragam. Rosak sana, rosak sini. Sampai akhirnya enjin tak boleh hidup langsung. Bukan sebab bateri kong tapi sebab masalah enjin. Pergi bengkel biasa semua angkat bendera putih. Nak perbaik Waja ni bukan boleh main belasah saja. Ada special tool untuk Waja ni. Enjin Renault memang macam tu. Pergilah hantar kat Proton Servis. Proton servis Kulim pun tak boleh buat. Bawak pulak ke Proton Servis Juru. Diaorang boleh buat sebab ada special toolnya. Tapi kos nak perbaiknya RM6000++. Mak ai..... Gila ape!
Fikir punya fikir, aku ambik balik Waja tu. Letak kat rumah lama jugak sebelum kawan aku berkenan. Bagi kat dia. Sambung bayar. Dia buat balik kereta tu sampai boleh jalan semula.  Lama lepas tu datang surat bank kata pembayaran untuk Waja tu dah lama tak buat. Aku call kawan aku tu. Dia menghilangkan diri bersama Waja tu. Aku sampai sekarang kena bayar Waja tu. Barang tak ada tapi kena bayar - huhuhu.

Lepas tu aku pakai Wira balik. Turun balik ke kereta biasa. Bukan apa, mana nak mampu pakai kereta lagi hebat daripada Waja sebab kena bayar untuk dua kereta tiap-tiap bulan. Wira ni pulak selalu buat hal. Masa beli tak ada enjin. Jadi beli enjin daripada kedai halfcut. Dah lama pakai problem pun datanglah sana sini. Pernah tersadai kat Sungai Kerang masa perjalanan balik daripada kampung. Nasib baik kat kampung tu ada bengkel kereta. Pergi ambik balik kena nak dekat seribu jugak. Wira ni makan banyak duit aku.


Macam ni lah Wira kedua aku. Warna biru muda


Kereta keempat aku, kereta yang aku pakai sekarang ni ialah Kia Forte. Jatuh hati dengan kereta ni sebaik aku dan isteri melawat pusat jualannya di Kulim. Itu pun secara tak sengaja melangkah masuk. Sebelum tu memang ada dengar produk terbaru Kia yang dikatakan tak macam dulu. Dulu orang takut nak beli Kia sebab tiga empat tahun mesti meragam. Bila nak perbaik makan duit sebab alat gantinya mahal. Sekarang produk-produk Kia lebih hebat daripada Toyota dan Honda. Contohnya Kia Forte diberi penarafan yang lebih tinggi berbanding Honda Civic LX dan Mazda 3 i Touring - klik sini  Kia sekarang adalah jenama pendahulu Asia di US - klik sini. Aku beli yang EX - low spec punya. Itu pun dah kira okey sangat. Yang penting selesa dan tak risau kalau berjalan jauh. Syukur.

Kia Forte

Kereta memang satu keperluan. Kalau tak ada kereta memang payahlah nak bergerak sana sini. Bagi aku ada kereta yang selesa dan selamat ketika berjalan jauh sudah memadai. Aku rasa tak perlu nak pakai kereta mewah-mewah. Harga kereta makin turun bila dah berusia. Bukannya harganya makin naik. Kecualilah kereta tu pengeluarannya memang terhad.....

Berikut adalah kereta termahal dan terhebat dunia :


1.       Pagani Zonda Clinque Roadster



Bernilai As$1.85 juta (RM5.67 juta) kereta ini bukan sahaja antara termahal
tetapi eksotik.  Dengan kemampuan memecut daripada sifar ke 60 batu
sejam dalam masa 3.4 saat, kereta buatan Itali ini mampu memecut sehingga mencecah
kelajuan maksimun 217 batu sejam


2.       Lamborghini Reventon


Jentera bernilai AS$1.6 juta (RM4.91 juta) ini hanta 20 buah dikeluarkan untuk pasaran global. Revention adalah antara
kereta termahal dan berkuasa pernah dihasilkan oleh Lamborhnihi hanya mengambil masa 3.3 saat untuk memecut daripada sifar ke 60 batu sejam dan mampu mencapai kelajuan maksimum sehingga 211 batu sejam.


3.       Koenigsegg Agera R

Agera R keluaran Sweden ini berharga AS$1.6 juta (RM4.91 juta)
mampu memecut daripada sifar ke 60 batu sejam dalam masa 2.8
saat sahaja selain mampu mencapai kelajuan maksimum 260 batu sejam


4.       Maybach Landaulet



Antara jenama pilihan golongan hartawan terkenal.  Keluaran
terkini Maybach mencecah harga sehingga AS$1.38 juta (RM4.24 juta)
Merupakan sedan paling mahal dengan kemampuan memecut
daripada sifar ke 60 batu sejam dalam 5.2 saat


5.       Zenvo ST1



Kereta edisi terhad keluaran Denmark ini hanya dihasilkan
sebanyak 15 buah. Dengan harga AS$1.23 juta (RM3.77 juta, ST1 mampu
memecut dariapda sifar ke 60 batu sejam dalam masa 2.9 saat dan
mampu mencapai kelajuan maksimum sehingga 233 batu sejam




TLC 11




Bab 7

7.1

Sudah lama Zali tidak segelisah itu. Ana berkampung di dalam kepalanya siang dan malam. Selepas terserempak dengan Ana di dalam feri tempohari memang perempuan itulah yang selalu bermain di fikirannya. Berjaga hingga larut malam semata-mata untuk memeras otak mencari jalan mencari Ana. Dia merasa perlu berjumpa dengan Ana untuk sekurang-kurangnya mengucapkan terima kasih kerana mengambil berat terhadap dirinya semasa terlantar di wad dahulu. Lebih lagi kerana kata-kata azimat Ana banyak membantunya bangkit dari patah hati. Kata-kata azimat itu sampai sekarang masih diingati dan dipegangnya erat. Besar budi Ana kepadanya.
Rasa terhutang budi itu memaksa Zali berusaha mencari Ana. Dia sudah duduk berbincang dengan Mokhtar tentang usaha itu dua tiga hari lalu. Mokhtar bersikap pesimis tetapi masih bersedia membantu apa sahaja. Kata Mokhtar, mencari Ana tanpa klu seperti mencari sebutir gula di dalam seguni garam. Ana pergi begitu sahaja dahulu tanpa tinggal apa-apa alamat atau nombor telefon.
Tetapi Zali tetap percaya akan menemui Ana. Sudah pun membuat kesimpulan yang Ana mungkin bekerja di GeorgeTown. Entah dari mana idea itu muncul. Walaupun idea itu kelihatan bodoh tetapi tidak salah jika dia mencuba, fikirnya. Dan sudah pun mengambil keputusan untuk mencari Ana di Komtar, menunggu di terminal feri GeorgeTown, menanti di pangkalan feri Butterworth dan menanti di stesen bas.

TLC 10




5.9

Kecelakaan tidak mahu pergi begitu sahaja. Seperti mahu menghukum Zali secukup-cukupnya. Sebagai peringatan yang semua ini bayaran tunai dari Tuhan untuknya di dunia ini kerana kealpaannya dahulu. Buat pengajaran dan panduan untuknya menjalani hidup di masa hadapan.
Zali masuk ke dalam Kancil yang dipinjamnya dari Mokhtar itu. Mengeluh pendek kerana yakin jawatan yang baru dipohonnya tadi tidak mungkin menjadi miliknya. Sudah banyak temuduga yang dihadirinya tetapi nampaknya sampai sekarang belum ada satu pun yang melekat. Sukar betul untuk mendapat pekerjaan. Ijazah dari universiti luar negara miliknya macam tak berharga. Graduan yang masih segar berlambak yang menganggur. Satu jawatan kosong bermakna satu barisan panjang pemohon.
Suratkhabar yang tersidai di bangku belakang kereta itu diambil Zali. Membuka di ruangan iklaneka dan matanya berlari ke sana sini di situ. Ruang itu ditompoki oleh bulatan-bulatan dakwat merah. Sebahagiannya sudah dipangkah dengan dakwat merah juga – sudah dihadiri temuduganya. Sebahagiannya belum dipangkah – belum dihadiri temuduganya, dan iklan-iklan inilah yang sedang diteliti oleh Zali. Zali sedang menimbang-nimbang jawatan yang paling hampir dengan rumahnya itu. Jawatan : kerani di sebuah syarikat pembinaan. Gaji : RM 750 sebulan. Kelulusan : SPM. Pengalaman : tidak diperlukan.
Zali bercadang untuk menghadiri temuduga untuk jawatan kerani itu. Jawatan itu memang tidak setimpal dengan ijazah kejuruteraan awam yang dimilikinya. Tetapi dalam keadaan terhimpit begini, dia tidak wajar terlalu memilih. Perut perlu diisi, sewa rumah perlu dibayar, hutang perlu dilangsaikan dan yang paling penting maruah yang pernah dirobek-robek oleh kebodohan sendiri itu perlu diangkat darjatnya semula. RM 750 itu cukup untuk sementara waktu ini asalkan dia mementingkan keperluan dan tidak membesarkan keinginan. Hidup secara bersederhana dan tidak berlagak mewah seperti dahulu adalah kuncinya. Memang cukup-cukup makan tetapi merasa terhormat kerana hidup lebih bermaruah. Biarlah dicubanya dahulu jawatan itu sambil mengintai peluang pekerjaan lain yang lebih sepadan dengan kelayakannya nanti. Ada hikmah di dalam sakit.
Temuduga untuk jawatan kerani itu dihadirinya.
Selang beberapa hari, ketika sedang meneliti ruangan iklaneka, telefon rumah pun berdering.

Tuesday, December 4, 2012

Aku Dan Handphone


Aku ni dulu gila jugak le dengan hp. Nak kejar hp baru sahaja kerjanya. Kalau ada hp model terkini keluar rasa membuak-buak nak dapatkan sebuah tu memang tak dapat ditahan-tahan. Aku ingat lagi kumpul duit sikit-sikit untuk dapatkan Nokia 3210. 



Nokia 3210

Dulu siapa ada hp ni kira canggih le. Macam siapa yang pakai Apple iPhone 5 atau Samsung Galaxy S3 sekarang. Leka kalau dapat main permainan snake dia. Masa tu itulah antara permainan palingcanggih yang ada dalam hp. Setahun lepas tu pakai pulak Nokia 3360. Jenama Nokia juga. Dulu Nokia ni jenama paling top untuk hp. Sapa pakai hp Nokia memang hebat le. Sebaik beli hp jenama Nokia dan-dan terbit rasa yakin. : )




Lepas tu lama tak pakai hp. Pakai nak menunjuk jadi bila ekonomi merudum aku pun terduduk. Pakai telefon awam sahajalah jawabnya.

Bila ekonomi dah pulih, beli pulak Sony Ericsson K320i masa ia mula-mula dikeluarkan. Tak serik-serik jugak. Ada duit je terus nak beli hp canggih. Asalkan ada hp canggih je terus nak beli kalau ada duit.
Lepas tu hp tu rosak. Dah mula malas nak tukar hp. Pakai je apa yang ada. Asalkan boleh dengar suara pemanggil dah okey walaupun skrinnya sekejap elok sekejap tidak. 


K320i


Lepas tu keluar Nokia N97. Tengok terus jatuh hati. Tak fikir dah. Tekan duit kat ATM lebih daripada RM2 ribu, pergi kedai dan terus beli. Masa tu update facebook guna N97 ni le. Pertama kali aku jumpa semula isteri masa tu aku pakai N97 ni le. Bila dapat bil telefon seribu ringgit lebih kena bayar. Bil untuk internet je nak dekat RM700. Gile ape! Jenuh jugak aku nak korek duit nak bayar. 

N97 yang banyak telan duit aku

Selepas pakai kira-kira enam bulan, ada kutu mana entah pecah masuk rumah. Selain duit dan barang kemas, N97 aku turut jadi mangsa. Sejak tu aku dah tak ingin nak pakai hp canggih-canggih. Cukuplah. Dah tawar hati. Sebab tu sekarang aku tak berapa kisah pakai hp apa pun, Lantak pi lah orang nak kata aku ketinggalan zaman ke apa ke. Tak larat nak kejo teknologi ni. Hari hp kita paling canggih tapi sebulan lepas tu belum tentu ia yang paling canggih. Sekarang ni aku pakai  ni .........


K320i semula! Bukan yang aku punya dulu. Tapi hp lama isteri aku. Sebelum tu pakai Sony Eriksson xperia. Hp lama isteri aku jugak. Okeylah. Dapat buat panggilan dan jawab panggilan serta bersms sudah memadai......


Di bawah ni fakta tentang hp yang popular. Mengikut senarai yang paling kerap dicari di Yahoo! Malaysia sepanjang tahun ini :

1.       Apple iPhone 5
Syariakt pengerluanya tidak pernah mengumumkan
Tarikh pelancaran rasmi untuk model telefon bimbit pintar
Terbarunya itu.  Atas inisiatif pengikut setia gajet tersebut
Mereka mengeluarkan khabar angin bahawa Apple menyediakan
15 juta unit iPhone 5 yang dibangunkan di Taiwan sebagai persediaan
Memasuki pasaran menjelang bulan September tahun lalu

2.       Apple iPhone 4
Ia merupakan telefin bimbit pintar berskrin sentuh generasi keempat
iPhone yang hadir bersama keupayaan sokongan panggilan video
serta kepelbagaian akses web dan multimedia.  Ia didtangkan dalam
dua pilihan warna iaitu hitam dan putih.

3.       Samsung Galaxy S
Syarikat pengeluar jenama tersebut ialah Samsung telah mengumumkan
Pengenalan kepada telefon bimbit pintar Android tersebut pada bulan Mac 2010

4.       Samsung Galaxy SII
Model ini merupakan telefon bimbit paling berjaya pernah dihasilkan oleh
Samsung.  Model tersebut diiktiraf sebagai telefon bimbit super pintar dengan
Pemproses berkembarkedua ternipis di dunia.

5.       Sony Ericsson Xperia
Rangkaian jenama Xperia merupakan telefon bimbit pintar dihasilkan oleh sony Ericsson

6.       Nokia C3
Ia merupakan telefon bimbit mampu milik yang dibangun dengan spesifikasi lengkap
Dalam usaha untuk menarik perhatian pengguna

7.       Nokia N8
Model telefon bimbit siri N daripada Nokia ini dipacu system operasi Symbian 3.
Ia merupakan peranti telekomunikasi Nokia pertama yang dilengkapi kamera beresolusi 12 megapiksel.

8.       Samsung Galaxy Ace
Model ini merupakan telefon bimbit pertama Samsung yagn menggunakan system operasi
Terbuka Android.  Ia dilengkapkan dengan skrin sentuhan TFT beresolusi 320 x 480 piksel

9.       Blackberry Bold
Blacberry Bold 9000 atau lebih dikenali dengan nama Bold 1merupakan model
Blackberry yang popular dengan kepelbagaian fungsi pintar, papan kekunci QWERTY serta
Keupayaan aplikasi mesej yang berkesan.


10.   Blackbery Curve
Model ini merupakan model terawal yang diperkenalkan syariakt pengeluarnya iaitu Research In Montion (RIM).
Curve 8520 adalah peranti Blackberry pertama mempunyai kawalan pad trek.

p/s : pekerja aku pakai hp lebih canggih daripada aku.



TLC 6





Bab 5

5.1

Gelap – berkabus – cerah. Matanya merenung syiling putih.
Sunyi – dengung – bingit. Telinganya ditampar suara-suara.
Tanpa bau – berbau. Hidungnya digerudi bau bauran ubat-ubatan.
Tersentak. Zali menoleh ke kiri kanan, mendapati yang dirinya sekarang di dalam sebuah wad ortopedik. Zali ditempatkan di katil tepi sekali, yang jauh dari pintu masuk. Katil di sebelahnya tidak berpenghuni. Jiran terdekat berjarak dua buah katil darinya. Seorang remaja lelaki sedang membaca suratkhabar sambil terlentang berada di atas katil itu. Kaki kanan remaja lelaki itu bersimen. Zali teringatkan peristiwa terakhir yang menimpa dirinya. Zali kalut memeriksa kaki kanannya. Kaki kanannya itu juga bersimen. “Nurse! Nurse!”

TLC 7




5.3

Selepas tiga hari berjiran, barulah Khairul mendapat peluang berbual-bual dengan Zali. Dua hari sebelumnya, Zali lebih selesa membatukan diri biarpun sudah cuba ditegur oleh Khairul beberapa kali.
“Bagaimana kaki abang boleh patah?” tanya Khairul, gembira kerana tegurannya tadi dijawab oleh Zali. Usaha berulang kali membesarkan kejayaan dan mengecilkan kegagalan.
Zali cuba tersenyum. Senyumannya kurang manis. Seolah-olah bibirnya tiada daya lagi untuk mengukir senyuman manis. Diri Zali memang lemah. Zali tidak lalu makan. Bukan kerana makanan hospital tidak sedap tetapi selera makannya yang tiada. Zali asyik mengenangkan nasib buruknya. Mengingatkan Natasha yang menikamnya dari belakang. “Dipukul orang,” jawab Zali tiba-tiba, becakap benar.
“Kenapa bang?” tanya Khairul, tersenyum. Dia cuba menembusi rahsia Zali itu.
Zali membisu lama sambil merenung syiling putih di atas kepalanya. Kemudian mengambil keputusan

Monday, December 3, 2012

Berapa Dalam Lautan Pasifik


Kalau korang dah tengok Life Of Pi, ada disebut bahawa Tsimtsum, kapal kargo yang membawa Pi, keluarganya, binatang-binatang dari zoo milik ayahnya yang akan dijual di Amerika Utara dan krew kapal, dipukul ribut taufan di Lautan Pasifik sehingga menyebabkannya karam di Jurang Mariana. Di bawah adalah beberapa fakta tentang lautan Pasifik dan Jurang Mariana :

- Lautan Pasifik merupakan lautan terbesar di dunia yang mana kedalaman lautan tersebut mampu mencecah ratusan kaki pada beberapa tempat. 

- Secara purata, kedalaman Lautan Pasifik adalah sekitar 14,000 kaki dalam.

- Tetapi terdapat suatu tempat yang pernah mencatatkan dua kali ganda kedalaman purata tersebut.

- Salah satu kawasan yang terkenal dengan kedalaman berbelas ribu kaki tersebut adalah Jurang Mariana yang terletak beberapa ratus batu di barat daya Guam.

- Nama Mariana diambil sempena kepulauan Mariana yang terletak berhampiran dengan jurang tersebut.

- Pertama kali diukur, Jurang Mariana mencatatkan kedalaman sekitar 35,700 kaki.

- Namun, eksperimen yag dijalankan seterusnya menunjukkan bahawa dasar Jurang Mariana memiliki kedalaman sekurang-kurangnya 36,100 kaki di bawah paras lautan Pasifik dan ia hampir tujuh batu dalam.





- Dalam kajian yang dilakukan, saintis telah melepaskan barangan seberat satu paun turun ke dasar laut di Jurang Mariana dan ia mengambil masa hampir satu jam untuk mencecah dasar.

Sumber - Estidotmy


p/s : pengetahuan manusia tentang isi laut adalah kecil berbanding angkasa raya yang jaraknya berjuta km daripada bumi. Kenapa?





TLC 9





5.7

Besoknya keadaan nampak seperti tidak berubah. Zali masih memohon mati dari Tuhan. Tetapi orang takkan mati selagi ajalnya belum tiba.
“Makan lagi Zali, makan lagi,” kata Mokhtar, gembira kerana suapan nasi goreng itu ditelan oleh Zali. Kini Mokhtar terus menyuap nasi goreng itu ke dalam mulut Zali. Seperti ada kuasa ghaib yang menolak nasi goreng itu ke dalam kerongkong Zali. Zali sendiri tidak pasti mengapa dia menelan nasi goreng itu sedangkan kepinginkan sebuah kematian. Tak ada gunanya hidup tanpa Natasha, fikirnya. Tetapi tiba-tiba sahaja telinganya terdengar esakan Mokhtar semalam. Walaupun singkat tetapi dapat mengharukannya. Dan sekarang, terdengar pula nasihat Ana yang tidak pernah muncul lebih sebulan yang lalu : “Teruskan hidup Encik Zali. Kehidupan ini bukan berkisar pada hubungan lelaki perempuan saja. Kita mencuba tetapi Tuhan yang menentukan. Jodoh itu di tangan Tuhan. Sudah tersurat di Sodratul Muntaha.”
“Engkau harus bertenaga Zali. Bila bertenaga baru boleh lakukan sesuatu untuk menebus maruah engkau semula,” kata Mokhtar.
Zali mengangguk. Ada semangat baru yang menyusup tembus ke dalam hatinya. Ditelannya nasi goreng yang baru disuap oleh Mokhtar itu. Dapat dirasainya dengan jelas butir-buitr nasi goreng itu melalui kerongkongnya dan mula mengisi perutnya.
“Air Zali, air Zali,” kata Mokhtar, memberi segelas air masak kepada Zali. Kelopak mata Mokhtar sudah bergenang dengan air mata. Terharu kerana Zali sudah sedar. Sudah mahukan kehidupan.
Zali mengambil gelas air itu, menggogok air masak itu hingga dasar gelas itu kering.
Tiba-tiba terdengar bunyi hon motosikal.

TLC 8




5.6

Mengasingkan diri – bermenung – bermurung – menangis.
Itulah sekitar hidup Zali sejak beberapa bulan itu. Perutnya kurus nipis kerana tidak berselera menjamah makanan. Matanya cekung dan sebam kerana kurang tidur dan asyik menangis. Bibirnya kering dan pecah-pecah kerana jarang meneguk air. Semua itu disebabkan hatinya yang sudah remuk. Zali sudah tidak pedulikan dunia. Dendamkan kehidupannya dan kepinginkan sebuah kematian.
Perkembangan itu menyebabkan Mokhtar gundah gulana. Dalam seminggu itu, sudah empat kali didengarnya Zali meracau dan dua kali mengingau – memanggil nama Natasha dalam kesayuan, memaki Natasha dalam kemarahan, ketawa dan menangis tidak tentu pasal. Dan kini, Zali kerap meminta mati pula. “Aku nak mati. Biar aku mati.” Kata Zali semalam ketika Mokhtar cuba menyuap nasi ke dalam mulut Zali untuk mengisi perut yang semakin meleper itu.
Pintu kamar tidur diketuk. Mokhtar menolak pintu kamar itu, masuk ke dalam, menggeleng kepala bila melihat Zali sedang berkerekot di atas katil. Kamar itu sangat busuk sehingga memaksa Mokhtar menahan diri dari sentiasa menarik nafas. Mokhtar mendekati katil, duduk di sebelah Zali yang sedang bermenung. Pipi Zali basah.

TLC 5




4.3

Tempat letak kereta masjid itu penuh diisi kereta. Beberapa buah kereta mewah pakir betul-betul di depan tangga masjid. Di celah-celah kereta mewah itu, beberapa orang budak lelaki yang memakai baju melayu, siap bersongkok hitam dan bersampin, sedang berkejar-kejaran, sempat bermain. Kemudian mereka berlari masuk ke dalam dewan sembahyang masjid itu. Diam, duduk di satu sudut sambil melihat sekumpulan orang dewasa yang sedang tekun mendengar nasihat daripada seorang tua yang putih bersih mukanya. Orang tua itu ialah tok kadi. Sedang tok kadi memberi penerangan kepada bakal-bakal pengantin yang bakal diakadnikah nanti, beberapa kilometer dari situ, sebuah kereta sedang meluncur laju di atas jalan raya. Melanggar semua lampu isyarat merah dan memotong semua kereta di hadapan. diketahuinya. Itu pun selepas ditengking oleh kakak Natasha setelah dia menelefon rumah Natasha semalam : “Jangan telefon ke sini lagi. Buat pengetahuan Zali, Natasha dah nak kahwin. Dia akan jadi isteri orang esok!” Lantas, malam semalam, dia berlegar di luar rumah Natasha untuk mendapatkan kesahihan. Memang benar kerana rumah Natasha itu meriah dengan orang. Dan salah seorang dari sepupu lelaki Natasha yang kebetulan berada di luar pagar rumah itu sempat bersembang dengannya. Dari sepupu lelaki Natasha itulah Zali mendapat tahu bahawa majlis akad nikah akan disempurnakan jam sepuluh pagi ini, di masjid yang sedang ditujuinya. Zali terbangun lewat tadi kerana tidur lambat. Sekarang terpaksa tekan pedal minyak Satrianya serapat-rapatnya.

TLC 4




Bab 4

4.1

Pada asalnya, Natasha merasa rancangannya begitu mudah : Goda – kikis sedikit – berlakon jadi kekasih – kikis habis – dan tinggalkan. Semua itu akan mengambil masa dalam tiga hingga empat bulan sahaja seperti selalu. Tetapi dengan Zali, percintaan palsu itu telah mengambil masa selama lebih tiga tahun sekarang. Terlalu sukar bagi Natasha untuk melafazkan perpisahan yang telah dirancangnya lebih awal itu. Sukar kerana Natasha sudah berperasaan terhadap Zali. Semakin hari, rasa simpatinya kepada Zali semakin membukit : Lelaki itu terlalu baik untuk ditinggalkan. Dan merasa lebih terharu kerana Zali sanggup buat hampir apa sahaja untuknya : Beli apa sahaja yang diinginkannya biarpun terpaksa berhutang bank, ambil cuti untuk menjaganya ketika sakit, dan yang paling mengharukan bila Zali sanggup buang keluarganya sendiri demi cintanya. Kerana tidak sampai hati untuk memutuskan percintaan palsu itu, Natasha pun mula cuba belajar menyintai Zali. Dari sehari ke sehari Natasha mula memupuk cintanya kepada Zali. Memang sudah dirasainya cinta itu mulai tumbuh sedikit demi sedikit. Tetapi cinta yang mula berpucuk itu akhirnya tumbang bila Zali mengalami krisis kewangan. Gaji bulanan Zali tidak lagi mampu menampung perbelanjaan bulanannya : duit sewa rumah, duit ansuran bulanan untuk dua buah kereta (keretanya dan Natasha), hutang kad kredit, bil telefon, air, elektrik dan duit belanja harian telah melebihi pendapatan yang diperolehinya setiap bulan. Dan cinta Natasha yang masih muda itu pun
layulah. Rupa-rupanya cinta Natasha itu hanya mampu tumbuh semasa dicurah mewah wang ringgit dan harta benda sahaja. Bila dompet Zali mula kempis, cinta Natasha itu
pun terus menipis. Hari ini, Natasha memutuskan untuk meninggalkan Zali kerana telah dijanjikan syurga oleh lelaki lain. Cintanya terhadap Zali sudah mati.
Empangan Mengkuang itu tenang saja pada waktu itu. Tiada keriuhan kumpulan anak-anak muda yang bergebang di wakaf besar atas bukit kecil dan tebing-tebing tasik itu seperti biasa. Dan juga tidak banyak keluarga yang bersiar atau bersenam di empangan itu seperti lazimnya. Yang ternampak hanya sepasang anak muda yang sedang duduk di tebing tasik itu dan tiga buah keluarga yang sedang bersiar di sekitar empangan itu. Terbentang di hadapan mereka ialah sebuah tasik tenang. Gagah di sebelah kanan pula ialah bukit bukau. Dan kukuh di belakang ialah bukit Mertajam.
Zali melepaskan pandangannya dari menara peninjau berwarna hijau di hadapannya itu. Kemudian meneliti pula pohon larch di hadapannnya dari puncak hingga ke pangkal. Selepas itu baru merenung semula Natasha selepas masing-masing membisu lama tadi. “Apa perkara yang you nak bincangkan dengan I?”tanya Zali kepada Natasha, perempuan yang sudah dicintainya selama tiga tahun lebih itu. Banyak masa, wang dan tenaga telah dikorbankannya untuk kekasih yang sangat dicintainya itu.
Natasha bangun dari bangku batu lalu berjalan di laluan pejalan kaki. Belum berkeinginan hendak menjawab soalan Zali itu. Sudah tiga tahun dia menipu Zali. Terperangkap dengan perasaannya sendiri. Dan kini perlu lebih berhati-hati mengawal situasi.
Zali yang sudah pun berjalan di samping Natasha mengulang tanya lagi : “Apa hal you nak cakap dengan I ni, Natasha? Sampai terpaksa suruh I ambil cuti ni.”
Natasha sedang mengumpul segala kekuatan yang ada di dalam dirinya. Keputusan sudah pun diambilnya sejak lama dulu. Tetapi hajatnya untuk memberitahu Zali perkara yang sebenar itu sentiasa tersekat di pertengahan jalan. Tetapi kali ini lain.
Tidak mahu berpura-pura di depan Zali lagi. Lagi pun ini soal hidup dan matinya. “I rasa … kita patut …”

“Biawak!” kata Zali tiba-tiba, merentatkan kata-kata Natasha yang sedia gagap dalam gugup itu. Zali menunjuk ke arah satu bahagian di tebing tasik itu. Seekor anak biawak dilihat sedang mengawasi sesuatu, menjelir-jelirkan lidah bercabangnya sebelum menggelecah lari menuruni tebing dan sebentar selepas itu terdengar air tasik itu bedecup.
Natasha menggerutu di dalam hati. Tidak selesa dengan celahan Zali tadi. Celahan itu menyukarkan Natasha. Kini Natasha terpaksa mengumpul semula kekuatan yang terbang bercempara entah ke mana demi untuk meneruskan bicara terus terangnya itu nanti. Natasha sendiri tidak pasti mengapa dia berkeadaan begitu. Bukan waktu itu sahaja tetapi selama tiga tahun lebih itu.
Langit jernih. Tiada segumpal awan pun yang tersemat di dada langit itu. Seluruhnya seperti disimbah dengan cat biru. Dan kebiruan itu memberi ketenangan kepada Natasha. Ketenangan yang amat diperlukannya ketika itu. Setelah lama memandang langit, akhirnya terbit semula segumpal kekuatan di dalam dadanya. Kini Natasha bersedia memulakan bicara terus terang itu semula.
“I rasa kita patut berpisah, Zali,” kata Natasha, terus berterus terang. Kata-kata yang disimpannya sejak sekian lama itu akhirnya terkeluar juga dari peti suaranya. Serius, bukan main-main seperti kebiasaan dulu.
Zali memandang muka Natasha, tergelak kerana menganggap Natasha berseloroh. Natasha memang kerap berkata begitu di awal percintaan mereka dulu.
“I serius ni, Zali,” kata Natasha lagi, berhenti di tepi pokok bunga kertas yang memisahkan lalaun pejalan kaki dan jalan bertar itu. Cuba mengiakan realiti itu kepada Zali.
Zali tergelak juga. “You janganlah main-main Natasha. Kita kan pasangan bahagia. I cintakan you. You cintakan I.”
Natasha merenung muka Zali. “I serius Zali!” kata Natasha dengan suara dan muka serius.
Memek muka Natasha itu mula perlahan-lahan meyakinkan Zali. Sekawan ketakutan mula menyerang hatinya. Selain perasaan takut yang datang seperti sekawan semut api yang menggigit hati itu, tanda tanyalah yang paling bergema di dalam hatinya. Dipandangnya muka Natasha dalam-dalam sebelum bertanya dengan gugup

TLC 3




Bab 3


3.1

Malam itu sungguh sunyi. Sesunyi kawasan perkuburan. Malam itu gelap gelemat. Segelemat liang kubur manusia yang sepanjang hidupnya bergelumang dengan dosa. Malam itu langit tanpa bulan dan bintang. Lapang selapangnya dari ufuk timur ke ufuk barat. Selapang hati manusia yang tandus dengan kasih sayang.
Dan malam itu, di rumah Mak Su, suasana yang dulu sentiasa sentosa kini tidak sesentosa mana. Seketul hati mentah sedang membiakkan geram dan seketul hati matang sedang mengandungkan sebak.

TLC 2




1.2

Matahari tenggelam dan kumpulan-kumpulan burung pulang ke sarang. Bulan timbul dan bintang mintang yang berkerlipan pun bertaburan di dada langit hitam. Sekarang malamlah sudah.
Jam sepuluh setengah malam. Suasana sunyi benar selain suara cengkerik menjering-jering. Kampung itu memang cepat mati. Cepat pula hidup di awal pagi. Orang bekerja estet bergerak seawal empat pagi untuk ke estet dengan mengayuh basikal dua tiga kilometer dari rumah. Di tengah-tengah rumah kayu itu berdiri sebuah kelambu putih. Keadaan di dalamnya samar-samar. Lampu di ruang tengah itu sudah ditutup. Kini mengharap percikan sinar lampu dari ruang dapur. Memang sengaja dibuat begitu kerana Zali tidak dapat tidur dalam terang.
Di dalam kelambu itu, kelihatan dua anak beranak. Zali sudah pun lena. Sementara Mak Su sedang mengusap rambut anaknya itu. Kini hatinya tersentuh mengenangkan kata-kata Zali petang tadi. Kata-kata Zali itu bukanlah kali pertama
didengarnya. Sudah banyak kali tetapi setiap kali itu hatinya tetap tersentuh. Mak Su merasa bertuah kerana mempunyai anak seperti Zali dan Zainal, abang Zali. Bagi Mak
Su, kedua-dua anaknya itulah yang menjadi permata hati untuknya. Kerana itu, Mak Su cuba membesarkan mereka sebaik mungkin. Diberi didikan dunia dan akhirat secukupnya
supaya anak-anaknya itu nanti dapat menjadi manusia yang berguna kelak. Manusia yang dapat menabur bakti untuk agama, bangsa dan negaranya. Itulah impian Mak Su. Mak Su tidak berharap emas atau intan. Cukup sekadar itu.
Sejak Pak Su, suaminya yang juga seorang bekas guru besar itu, meninggal dunia kerana serangan jantung, soal menjaga anak-anak itu memang terbeban di pundaknya seorang. Ada beberapa duda kaya yang masuk melamarnya tetapi semua lamaran itu ditolak. Mak Su tidak mahu memperjudikan nasib anak-anaknya itu. Pencen arwah suaminya dan duit pajak kebun kelapa mereka itu cukup menampung hidup mereka anak beranak. Upah mengajar mengaji pula sedikit sebanyak ada membantu.
Bagi seorang emak, pengorbanan untuk anak-anak adalah kewajipan. Kebahagiaan anak-anak yang paling diutamakan. Anak bahagia, dia pun ikut bahagia. Anak derita, dia pun sama derita.
Mak Su merebahkan badannya di sisi Zali. Membaca Al-Fatihah, An-Nas, Al-Falaq, Al-Ikhlas dan doa tidur sebelum melelapkan mata. Selepas itu Mak Su pun lena dengan aman.
Di luar, selain cengkerik yang makin menjering-jering, kini sayup-sayup terdengar bunyi burung hantu. Satu-satu dan menyeramkan.


Bab 2


2.1

Tiga belas tahun kemudian…