Pages

Monday, November 26, 2012

Alasan Rajagobal




KUALA LUMPUR, 25 Nov (Bernama) -- Ketua jurulatih Datuk K.Rajagobal kecewa dengan persembahan penjaga gol kebangsaan, Khairul Fahmi Che Mat yang menjadi punca kekalahan 0-3 kepada Singapura pada perlawanan Kumpulan B di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam ini.
Beliau berkata kesilapan yang dilakukan oleh Khairul Fahmi yang dikenali dengan nama ''Apek'' pada separuh masa pertama menyebabkan moral pemain pasukan kebangsaan terus merosot namun beliau memuji kebangkitan yang ditunjukkan pada separuh masa kedua.
"Dia (Khairul Fahmi) membuat kesilapan dan memberi kesan kepada moral pemain...sejujurnya saya tidak menyangka kita akan tewas dengan keputusan malam ini.
"Saya cuma menjangkakan kita kalah dengan keputusan 0-1 atau seri dengan pasukan Singapura," katanya kepada pemberita selepas perlawanan tersebut.
Tiga gol skuad Singapura dijaringkan oleh kapten pasukan, Mohd Shahril Ishak pada minit ke-32 dan 37 serta pemain naturalisasi dari Bosnia, Aleksandar Duric pada minit ke-75.
Mengulas lanjut, Rajagobal berkata keputusan tersebut memberikan kesukaran kepada mereka untuk mencari mata bagi melepasi peringkat kumpulan.
"Kita harus menempuhi jalan sukar selepas ini dan suka atau tidak, kita perlu mencatatkan kemenangan dalam dua baki perlawanan," katanya.
Dalam pada itu, jurulatih Singapura Radojko Avramovic berkata beliau berpuas hati dengan prestasi anak buahnya dan berharap skuadnya dapat terus mengekalkan momentum dalam menentang Indonesia Rabu ini dan Laos pada 1 Dis ini.
"Ini adalah permulaan baik dan saya tabik anak buah saya atas usaha cemerlang mereka. Kadang-kadang kami bernasib baik untuk menghasilkan jaringan dan adakala sebaliknya," katanya.
Mengulas pertemuan antara Laos dan Indonesia sebelum ini, Avramovic berkata beliau terkejut dengan prestasi Laos yang berjaya mengikat lawannya 2-2.
"Secara umum, Laos mengejutkan saya. Saya percaya mereka datang untuk memenangi semua perlawanan dan tenaga yang ditunjukkan oleh Laos pada perlawanan pembukaan adalah hebat," katanya.
Malaysia, selaku juara bertahan akan menentang Laos Rabu ini sebelum mengakhiri saingan peringkat kumpulan dengan menentang Indonesia pada 1 Dis ini.
Sumber : Bernama

Komen aku satu perkataan sahaja : Blahlah!






1 comment:

  1. tgh tak idup la mr king...amar n safiq ptt dropout..

    ReplyDelete