Resah
mengerumus malam ini. Bulan penuh sayu. Cengkerik berlagu pilu. Seisi rumah
dilatari udam
penuh duka. Abang sedang duduk di sisi ibu. Yasin baru usai
dibacakan. Putik-putik haruman kesturi tiba-
tiba menujah hidung. Lalu imej-imej
silam pun mengembang jelas di dalam kanta berkristal.
Ibu melunaskan janjinya. Kita sangka ibu lupa tetapi sebenarnya
tidak. Semua keperluan sekolah sudah dibeli oleh ibu siang tadi. Segalanya
serba baru. Bermula dari baju hingga ke kasut sekolah. Dan dari pensil ke buku
tulis. Wang ibu melayang beratus ringgit. Malam itu kita sibuk mencuba baju
sekolah baru. Kemudian leka menyusun alat-alat tulis baru di dalam bekas pensil
baru. Bekas pensil kita bertingkat dan besar. Paling canggih dan mahal. Kita
yang memilihnya dan ibu menyetujui saja. Abang lihat adik begitu gembira, kita
gembira. Ibu yang melihat gelagat kita tersenyum puas.
Seminggu lagi. Abang di tahun keenam dan adik pula kali pertama
menjejak kaki ke sekolah. Namun buku-buku teks sudah mula diguna oleh kita. Ibu
jadi guru mula. Bilik tidur kita jadi kelas awal. Di situlah kita mula mengenal
huruf dan angka dulu. Saksi bila kita dapat membaca, menulis dan mengira. Pada
usia enam tahun, 3M yang asas itu sebati sudah dengan kita. Ibu guru yang
garang dalam penyayang. Jika silap, tapak tangan tetap merah dimamah rotan.
Tetapi hati ibu kerap juga tersentuh. Terutama bila kita bengap pada sesetengah
pelajaran. Air mata ibu mudah gugur. Kelas hari itu akan terhenti. Tetapi ibu
tidak pernah putus asa dan merungut. Menyumpah jauh sekali. Ibu faham bahawa
setiap kata yang keluar dari mulutnya untuk anaknya adalah doa. Esok, kelas
bersambung semula. Ibu benar-benar mahu menyiapsiagakan kita sebelum sesi
persekolahan bermula. Ibu mahu kita berada di hadapan berbanding budak-budak
lain.
Hari bermakna buat kita pun tiba. Ibu mengejutkan kita dari lena.
Kita bangun, kemudian mandi, lalu memakai baju sekolah baru. Tidak sabar hendak
memperagakan baju sekolah baru itu di depan rakan-rakan. Bagi kita awal sekolah
hebat bila segalanya baru. Dan ibu tahu itu.
Ibu menghantar kita ke sekolah dengan kereta. Di dalam perjalanan
ibu memberi pesanan. Khusus untuk adik : Ramai kawan. Cikgu baik. Usah takut.
Khusus buat kita : Hormati guru. Belajar rajin-rajin. Tetapi bila sampai waktu....
adik menangis juga. Terpaksalah ibu menunggu adik hingga waktu terakhir.
Kita pulang. Mandi, makan tengahari, bersolat Zohor dan kemudian
berehat sebentar sebelum ke sekolah agama pada jam dua petang. Di sekolah
agama, ibu terpaksa juga menemani adik hingga waktu terhujung. Adik takut
hendak berenggang dengan ibu pada hari pertama dan lima hari selepasnya itu.
Jam lima, ibu mengajar kita mengaji Quran dan Muqaddam di rumah. Selepas rehal
dilipat dan disimpan di atas almari, kita pun dibenar oleh ibu untuk bermain di
halaman rumah.
Selepas bersolat Maghrib, kita berlumba menyiapkan kerja sekolah.
Seterusnya mengulangkaji pelajaran sebelum menonton telivisyen. Ibu tak pernah
menyekat kita menonton rancangan kegemaran kita. Bersolat Isyak bila masuk
waktu. Dan penghujung malam bagi kita pada jam sepuluh setengah dengan diiringi
dodoian ibu. Nasyid-nasyid dari kumpulan Al-Suraya menjadi pilihan ibu. Bilik
kita mula sunyi bila jam sebelas malam.
Sebenarnya ibu tidak pernah tidur awal sebelum kita walaupun sekali. Bila subuh
esok menjelma, ibu bangun dulu untuk mengejutkan kita seperti selalu.
Kita tinggal di asrama bermula dari tingkatan satu. Ibu ditinggalkan
seorang diri. Pengorbanan ibu berbaloi. Kita mendapat 8A. Baik untuk PMR atau
SPM. Keluarga kita jadi idola saudara mara dan orang kampung. Abang ke
universiti tempatan. Tolak segala tawaran belajar ke luar negara. Tetapi adik
sebaliknya. Di lapangan terbang, tangisan ibu mengiringi adik terbang ke
Amerika Syarikat. Sepanjang adik di sana banyak kali abang terserempak ibu
menangis. Selalunya bila adik mengadu sakit demam, selesema, terseliuh dan
lain-lain.
Seminggu ibu menemani adik di sekolah. Enam tahun ibu berembun menghantar
kita ke sekolah. Lima tahun ibu ditinggalkan seorang diri. Lima tahun ibu
menanti kepulangan adik dari luar negeri. Ah, tentunya sukar bagi seorang ibu
tunggal seperti ibu.
Mata abang menakung air.
Razif, sepupu kita, memanggil abang. Ada tetamu datang. Abang harap
hanya seorang. Terpelecok ketika berdoro laju di celah-celah kesesakan orang.
Sampai di halaman rumah, perasaan hampa pun menerkam. Pak Imam Leman, jiran
kita, yang datang melawat. Orang tua itu masuk untuk melihat ibu. Abang pula
duduk di tangga rumah. Meranggul ke langit yang berbulan penuh sunyi. Nyanyian
cengkerik terdengar gelisah. Imbasan silam yang tadi terputus bersambung
semula.
Besok awal Ramadhan. Kita akan mula berpuasa. Malam itu kita mula
berterawih. Pada awalnya hanya mampu lapan rakaat. Tetapi lama kelamaan dua
puluh satu rakaat bukan lagi masalah. Ibu bertadarus dan kita ikut serta. Itu
berkat didikan ibu.
Bersahur ibu yang mengejutkan. Lauk kegemaran kita sudah sedia
terhidang. Baru dimasak oleh ibu khas untuk membuka selera kita. Kita makan
banyak. Waktu berpuasa penuh dugaan. Dua tiga kali kita mencuri minum. Dapat
ditangkap ibu dan diberi nasihat. Bercakap benar. Andai tidak tahan berbukalah.
Setahun dua mencuba akhirnya kita berjaya berpuasa penuh. Ganjaran ibu mungkin
mendorong kita. Seringgit untuk sehari berpuasa. Bila usia semakin meningkat,
upah bukanlah lagi matlamat utama. Kewajipan yang kita dokong.
Waktu berbuka penuh nikmat. Bila azan Maghrib berkumandang itulah
tanda kemenangan untuk kita yang bersabar menghadapi dugaan. Kita bermula
dengan doa berbuka, diikuti kurma dan disusuli dengan tegukan air. Kita bermula
dengan makanan yang ringan dahulu. Waktu ini kuih kegemaran kita menjadi
santapan kita terlebih dahulu. Badak berendam untuk abang dan lepat labu untuk
adik. Kita menjamah nasi hanya selepas bersolat Maghrib.
Kita mengejar Lailatul Qadar pada sepuluh malam terakhir Ramadhan.
Ibu tekun memperbanyakkan ibadah. Berharap dapat bertemu malam seribu bulan
itu. Belum pun lepas jam dua belas tengah malam, kita tersungkur berdengkur
sedang ibu masih di atas sejadah.
Satu syawal esok hari. Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Melayu baru
mengumumkannya. Kita dan semua sepupu bersorak riang. Halaman rumah opah
diterangi oleh percikan bunga api. Langit diselubungi tasbih, tahmid, takbir,
selawat dan doa kepada Allah. Di belakang rumah, ketupat, lemang, rendang tok,
ayam merah dan
bermacam
juadah hari raya sedang dimasak. Perasaan gembira dan sedih bercampur gaul di
malam itu.
Sebelum ke masjid kita menjamah hidangan bersama sanak saudara. Kita
memakai baju melayu baru siap dengan sampin dan songkok baru. Selepas ke masjid
kita ke kubur ayah dan atuk. Kemudian bermaaf-maafan sesama sanak saudara dan
jiran terdekat sebelum terus ke rumah nenek pula, ibu ayah. Besoknya, baru kita
berpeluang beraya sendiri tanpa ibu. Banyak duit raya yang kita dapat. Semuanya
ibu simpankan di dalam akaun Bank Simpanan Nasional kita.
Hayati, isteri abang, memanggil abang masuk ke dalam bilik. Ibu
terbaring lemah. Tangan ibu menggamit lesu. Abang mendekati dan duduk di sisi
ibu. Mulut ibu kumat kamit berkata sesuatu. Tersekat-sekat dan tidak jelas.
Abang melekapkan telinga ke mulut ibu. Rupa-rupanya ibu hendak ke bilik air.
Abang mendukung ibu ke bilik air dengan berhati-hati.
Ibu ingin mandi. Abang mandikannya. Setiap kali air dari gayung
mencurah badan ibu, hati abang disentuh pilu. Kenangan ibu memandikan kita
menobros ke sukma abang. Belum sempat air mata gugur, abang pantas menyapunya
di mata. Khuatir ibu menyedari, desakan pilu itu abang redakan. Selepas mandi,
ibu mengambil wuduk. Sebentar kemudian ibu terlantar semula di atas katil.
Mendirikan solat Isyak.
Abang ke halaman rumah semula. Suara cengkerik yang tadi gelisah
kini menyayukan pula. Angin bertiup lembut. Haruman kesturi memecahkan wangi
yang misteri puncanya. Orang berbisik-bisik.... (Bersambung)
No comments:
Post a Comment