Pages

Friday, November 23, 2012

Junjung Yang Hangat!



Semua dalam keadaan tip-top. Keempat-empat kami sihat walafiat. Kenderaan kami - basikal - juga dalam kondisi terbaik. Tayar masih berbunga, brek masih mencengkam dan rantai kejap berminyak. Basikal-basikal itu berbaris di hadapan rumah aku. Lurus dalam satu barisan melintang macam pasukan Rejimen Askar Melayu yang diperiksa Agong semasa perbarisan hari merdeka. Di atas basikal-basikal itu, aku, Wadi dan Azrul mencongok gelisah. Basikal Amin kosong dan dia ke jamban rumah aku sudah lebih daripada setengah jam. Lama bukan main.
"Dia ni berak batu ke apa ni?" tanya Wadi.
Aku dan Amin tergelak.
"Betul berak batu sebab tu punggung dia melendut aje," kata Wadi lagi.
Aku dan Amin ketawa terbahak-bahak. Wadi ikut sama.
Azrul muncul tiba-tiba. "Hoi, hangpa ngata aku ya."
Jari telunjuk aku dan Amin mengarah pada Wadi.
Wadi tersengih.
"Sorry, lambat," kata Azrul.
"Batu memanglah lambat," balas Wadi.
Aku dan Amin ketawa terbahak-bahak.
"Bukan batulah...." jawab Azrul.
"Habis tu apa?" tanyaku dengan pantas.
"Bubur..." jawab Azrul, menyerigai.
Amin tersembur. Lolipop yang sedang dihisapnya mencium tanah. "He..... Yek!"
Azrul, aku dan Wadi ketawa terbahak-bahak lagi.
Sekarang semua sudah ada di atas basikal masing-masing.
"Satu, dua, tiga!" kira Amin.
Konvoi berbasikal itu pun bermula. Destinasi yang dituju ialah Junjung. Sepesifiknya Air Terjun Junjung. Kami melalui jalan kampung. Di kiri kanan pokok rambutan sedang berbuah lebat. Merahnya menggoda.
Kayuh punya kayuh sampai kaki naik lenguh, akhirnya kami sampai juga di kawasan perkelahan popular tu. Kami antara pengunjung terawal. Masih awal pagi. Kabus pun masih terapung. Pilih port terbaik. Dekat dengan air terjun. Bentang tikar dan aku menceburkan diri di dalam air paling awal. Sejuknya memakan tulang. Terketar-ketar badan dan mulut aku dibuatnya. Bukan tak pernah jumpa air. Di belakang kampung kami pun ada sungai. Tetapi kerana tak tahan dengan badan yang melekit oleh peluh. Wadi dan Amin mengikuti kemudiannya. Kedua-duanya gembira dan seronok berada di situ. Barangkali kerana tempat itu popular. Jadi rasanya lain.
Amin menghilang ke tandas. Dia menahan perutnya dari terburai sejak di pertengahan perjalanan tadi. Tidak muncul-muncul selepas 20 minit. Kami bertiga tertanya-tanya. Aku naik ke darat. Melangkah ke tandas. Azrul tiada di dalam tandas. Aku mencari sekitar kawasan tandas itu. Azrul tiada di situ. Ketika aku mahu melangkah pergi tiba-tiba namaku dipanggil. Aku memeriksa sekeliling. Tidak kelihatan sesiapa di kawasan itu. Tiba-tiba bulu roma menegak. Seram menyerang. Aku bersiap untuk melangkah seribu. Tiba-tiba namaku dipanggil lagi. Aku melihat sekeliling. Masih mataku tak tertangkap kelibat sesiapa.
"Sini bongok!" kata suara itu lagi. Sekarang baru dapat kutangkap suara siapa yang memanggilku sejak tadi. Macam suara Azrul.

Ada pokok bergoyang di tebing berdekatan sisi kiri tandas. Di situ aku nampak muka Azrul yang sedang tersengih sambil menggamitku sungguh-sungguh. Memanglah dia. Aku terus mendapatkannya.
"Aku ingat hantu mana tadi," kataku.
Azrul mengisyaratkan aku supaya diam. Sungguh-sungguh.
"Awat?" tanyaku.
Azrul mengarahkan jari telunjuknya ke bawah tebing bukit itu. Di sebalik batu yang besar, ada kelibat dua orang remaja. Seorang lelaki dan seorang lagi perempuan. Mereka sedang....
"Hoi! hangpa berdua buat apa?!" jerit Wadi dan terus berlari mendapatkan aku dan Azrul.
Aku dan Azrul memintanya diam tetapi dipandang sepi oleh Wadi.
"Hangpa tengok apa?!" tanya Amin pula. Suaranya kuat bukan main.
"Tengok kat bawah tu,' kataku.
Kami semua melihat ke arah batu besar tadi. Remaja lelaki dan perempuan itu baru hendak memulakan cengkarama.
"Eh, itu bukan anak Pak Rahim ke?" tanya Amin dalam nada terkejut.
"Pak Rahim mana?" tanyaku.
"Pak Rahim masjid," jawab Amin.
"Perempuan tu pulak bukan ke..."
"Eh, kakak engkau!" kataku.
"Kakak siapa?" tanya Amin.
"Kakak engkaulah!" kataku, Azrul dan Wadi hampir serentak sebaik muka perempuan itu jelas pada pandangan kami.
"Apa?!" Amin terkejut. Melihat-lihat kalut. Tiba-tiba kakinya tergelincir. Dia tergolek-golek ke bawah. Mujur lereng itu rendah sahaja. Berhenti betul-betul di seberang tebing bertentangan dengan batu besar itu. Kakaknya terkejut. Cepat-cepat menepis tangan pasangannya yang memegang tangannya tadi. Amin tersengih. Dan dengan selamba dia menjerit :
"Beritahu mak."
"Jangan!"
"Beritahu jugak."
"Jangan!"
"Beritahu jugak."
"Kakak bagi hang duit."
Amin yang baru hendak mula mendaki naik kepada kami terhenti langkahnya. Dia berpaling perlahan-lahan.
"Kakak bagi hang duit tiap-tiap bulan."
Diam lama.
"Tolong jangan beritahu mak..." rayu kakak Amin.
Amin mendaki naik. Mendapatkan kami. "Kak, balik." kata Amin ringkas. Mukanya masam macam cuka. Dia berdiri menunggu kakaknya berlalu dari kawasan batu besar itu. Kemudiandia  berlari ke tempat letak kenderaan. Memerhati sampai kakaknya beredar dengan motor dari Air Terjun Junjung itu. Selepas itu kami sama-sama berkubang. Amin tak sedikit kecewa pun dengan apa yang berlaku. Berseronok macam biasa dengan kami.
Besoknya, tersebarlah berita bahawa rumah Amin pada malam itu riuh rendah dengan jerkah dan pekik bapanya. Kakaknya dihukum tidak boleh keluar rumah selepas balik daripada sekolah. Seminggu selepas itu, Abang Fakhrul, anak Pak Rahim itu ditangkap khalwat. Tetapi pasangannya bukan kakak Amin. Seorang remaja perempuan lain dari kampung sebelah.

Episod Seterusnya : Merah Yang Menggoda





 




No comments:

Post a Comment