Pages

Sunday, November 11, 2012

Fuyoo, Jambatan Pulau Pinang!


Selepas seminggu, anu Amin pun surut bengkaknya. Dia sudah boleh berjalan betul. Tidak lagi kengkang macam orang yang tak dibedung masa bayi. Kami teruskan hasrat kami yang tertangguh selama seminggu tu. Kami bertiga bagi kata dua pada Amin. Baik atau kami tinggalkan. Alih-alih semalam dia pun pulih walaupun sehari sebelum tu masih terkengkang-kengkang.
Kami panjat Bukit Raya. Di kaki bukit itu kami teguk air bukit. Air bukit itu mengalir di dalam ruas-ruas buluh yang disusun dari sumber air dari atas bukit. Kami tidak tahu siapa yang membuat tadahan itu. Belasah minum sahaja. Terlupa bawa air dari rumah. Takut kepenatan mendaki. Jadi minum dulu sebelum merabat bukit.
Aku, Azrul dan Amin sehelai sepinggang. Jadi kami paling hadapan. Wadi paling belakang macam selalu. Tambahan pula Wadi galas beg. Wadi tiba ke puncak sepuluh minit lambat berbanding kami bertiga. Ketika Wadi sampai kami bertiga sudah pun terpacak di puncak berdekatan tebing mengadap ke arah pulau. Nun, jauh di sana adalah pulau. Di sebelah kiri kelihatan garisan hitam yang menegak di tengahnya yang menghubungkan tanah besar dengan pulau. Mulut terlopong. Lida kelu. Mata terbelalak.
"Hoi! Apa hangpa tengok tu?!" jerit Wadi.
Aku melambai tangan ke belakang. Mata masih menghala ke laut. Wadi segera mendapatkan kami. Berdiri di sebelah aku.
"Fuyoo, Jambatan Pulau Pinang!" Wadi takjub.


Aku, Azrul dan Amin mengangguk. Mulut tetap terlopong dan mata masih terbelalak.
Kami berempat terpacak lama di situ. Dunia macam mati. Yang menemani adalah bunyi desir daun ditiup angin dan letap ranting patah yang kedengaran sayup-sayup.
"Eh, betul ke itu Jambatan Pulau Pinang?" tanya Wadi.
Aku mengangguk. Amin juga. Azrul pun sama.
"Fuyoo!!!" kata Wadi lagi. Tiba-tiba meloncat seronok. "Aku dah tengok jambatan! Aku dah tengok jambatan!" Apa yang diseronokkannya kami pun tak pasti. Tetapi ternyata ia satu kepuasaan buat Wadi.
Kami bertiga tumpang seronok.
"Macam tak percaya boleh tengok dari sini," kata Azrul.
Kami sudah duduk mengadap Jambatan Pulau Pinang itu.
"Bapa aku dah cakap. boleh nampak dari sini. Percaya tak sekarang?" kataku.
Mereka bertiga mengangguk pantas. Aku puas hati. Aku pun macam tak berapa nak percaya cakap abah tu. Sebab tu aku beria-ia ajak mereka ke situ. Pertanyaan tentang jambatan tu terbersit dari mulutku bila aku dengar dentum dentam setiap malam sebelum tidur. Bapa kata bunyi tu bunyi Jambatan Pulau Pinang yang sedang dalam pembinaan. Aku tanya bapa apa Jambatan Pulau Pinang tu. Bapa pun berceritalah tentangnya. Terpanjang di Asia Tenggaralah. Antara terpanjang di dunialah. Antara yang termoden di dunialah. Beratus juta duit diperlukan untuk membinanya. Semua tu demi kemakmuran rakyat. Selebihnya pasal politik. Tapi apa yang paling nyata ialah Jambatan Pulau Pinang itu menjadi kebanggaan bapa. Katanya Dr Mahathir berani dan bijak. Aku dengar dan angguk sahaja dengan kata-kata bapa tu. Penerangan bapa itu menerbitkan rasa ingin tahu aku pada jambatan itu. Aku ajak bapa pergi tengok jambatan tu malam itu juga. Tapi bapa kata jambatan tu belum siap lagi. Tapi katanya kalau aku betul-betul nak tengok panjatlah Bukit Raya.

                                                                 
"Bila kita boleh naik?" tanya Amin.
"Lambat lagi nak siap," kata aku.
"Tak sabar nak naik," kata Amin.
"Nanti kita pergi naik basikal," cadang Wadi.
Mata aku, Azrul dan Amin terpacak ke muka Wadi. Biar betul dia ni.....
"Jauh tu.... Hang ingat dekat ka? Naik basikal dari sini ke Junjung pun lembik...." sindir Amin.
Wadi tarik muka. Geram melihat Amin.
Azrul menyelamatkan keadaan. Kata-katanya berjaya mencuri perhatian kami bertiga.
"Aku dengar ramai pekerja sudah mati," kata Azrul.
"Ha!" Aku, Amin dan Wadi bereaksi serentak.
"Kata orang mereka ditelan puaka kat situ," kata Azrul lagi.
"Betul ke?" tanyaku.
Azrul mengangguk yakin.
Aku, Amin dan Wadi berpandangan.
"Kebanyakkannya orang korea," kata Azrul lagi.
"Kemalangan kut...." kataku.
"Mungkin," jawab Azrul.
Seram pula rasanya. Kami berempat berdiam lama lagi. Melihat ke arah jambatan tersebut. Walaupun nampak segaris, entah mengapa terbit rasa bangga dalam hati. Hilang rasa seram hasil cerita Azrul tadi. Aku rasa kawan-kawanku itu pun rasa begitu.
"Kita mesti naik nanti," kataku.
Cadanganku itu disambut bersemangat oleh mereka. Kami calit tangan antara satu sama lain. Tanda janji dan jadi.
"Mari kita raikan!" kata Wadi.
Aku, Amin dan Azrul memandang dengan riak muka tak faham. Tiba-tiba Wadi membuka beg galasnya. Keluarkan beberapa bekas tupperware.
"Mai makan," ajak Wadi sambil tersengih.
Kami berempat berpandangan dan kemudian ketawa terbahak-bahak. Berlatarbelakangkan Jambatan Pulau Pinang yang masih dalam pembinaan, ubi kayu rebus beserta ikan bilis sambal tumis dan gula menjadi begitu lazat tak terkata. Fuh, indahnya saat itu......

p/s : Episod seterusnya : Junjung Yang Hangat



No comments:

Post a Comment