Kepulangan adik dari luar negara disambut gembira oleh ibu. Kenduri kesyukuran diadakan secara besar-besaran. Kami bangga kerana adik berjaya membawa pulang segulung ijazah universiti terkemuka. Kemudian adik pun bekerja di Pulau Pinang. Tak lama kemudian adik mula bermain cinta. Detik hitam pun menitis. Setitik demi setitik.
Hingga di situ sahajalah bahagia kita. Sejak adik melangkah keluar tanpa salam tiada kenangan indah yang mampu dicipta lagi. Ibu putih mata. Abang makan hati. Luka ini belum mahu mati.
Apa yang menyebabkan adik terlara? Keengganan ibu membenarkan adik bekerja di Pulau Pinang? Atau keengganan ibu menerima kekasih adik? Tentulah ibu ada sebabnya. Pasti juga ada rahsianya. Rahsia dari sejuta rahsia yang tidak mungkin dapat dibongkari oleh kita. Cukuplah sekadar kita tahu bahawa semua tindakan ibu kerana sayangnya kepada kita.
Atau barangkali ini :
“Ibu pilih kasih!” Kebebasan memilih hanya untuk abang : tempat kerja, kerja dan isteri. Itukah? Ah, adik, adik. Bagaimana adik boleh terbabas hingga ke situ? Selama ini ibukan bersikap adil. Ibu juga terima kita seadanya sejak kita di dalam rahimnya. Biar pun ibu belum melihat wajah kita, cacat atau tidaknya kita, namun cinta murninya sudah ditumpahkannya kepada kita. Sembilan bulan ibu mengandungkan kita. Berdoa setiap hari, siang malam, agar kita selamat lahir ke dunia. Kelahiran adik paling sukar kerana distosia. Adik hampir lemas kerana hyproxia. Bila tangisan adik bergema, ibu menangis syukur. Ayah melaungkan azan di dalam tangis. Pak Long mengisahkan ini. Bukan ibu.
Atau mungkin : “Siapa saya sebenarnya?” Mengucaplah adik. Kita berdua anak ibu. Di dalam darah kita, darah ibu mengalir. Pada wajah kita, wajah ibu tercermin. Pada suara kita, suara ibu terselit. Tiada siapa yang dapat menafikan hakikat ini.
Jika benar adik menganggap ibu bersalah, bersalahlah ibu walaupun itu salah. Andai ya pun, kesalahan ibu hanyalah sekelumit berbanding selangit kesalahan yang pernah kita lakukan terhadap ibu. Tidakkah setitik hitam boleh dihapuskan oleh selaut putih? Apa pernah kita belikan baju baru untuk ibu? Sanggupkah kita bangun awal pagi untuk mengejutkan ibu? Nyenyakkah tidur ibu? Buat sarapan? Ke pasar? Bikin makanan kegemaran ibu? Dan pelbagai perkara lain yang kita tidak pernah ambil tahu. Kita hanya tahu meminta dan menyoal. Agak janggal untuk menuduh ibu itu dan ini sedang kita tidak pernah mengenali dirinya sepenuh hati.
Syurga di bawah tapak kaki ibu. Derhaka terhadap ibu neraka menunggu. Taat terhadap ibu pintu syurga terbuka. Adik juga tahu itu. Jadi mengapa adik masih berpaling?
Masih ingatkah adik pada kisah Malin Kundang yang pernah diceritakan oleh ibu dulu? Kisah anak derhaka yang disumpah menjadi batu itu. Atau kisah Alqamah yang terseksa di ambang maut? atau kisah Jahimah yang ingin ke medan perang?
Bahagiakah adik? Abang dengar adik menderita. Kekasih adik sudah meninggalkan adik. Adik menunggu mati kerana kecewa yang mencengkam. Kerana itukah adik malu hendak pulang?
Usah malu untuk pulang kerana kitakan sekeluarga. Keluarga yang pernah bahagia dan dikurniakan manis dalam segala. Bahagia dan manis itu masih wujud asalkan
adik kembali. Masih belum terlewat untuk mengembalikan apa yang pernah kita miliki dahulu. Benar, zaman kanak-kanak dan remaja yang indah itu tidak mungkin dapat dirasai oleh kita lagi. Tetapi kita masih boleh mencipta waktu-waktu indah lain untuk dewasa ini. Pokoknya pulanglah.
Sudah terlalu lama adik pergi. Sudah sampai waktu adik kembali. Abang yakin yang adik masih ingat jalan pulang. Masih ingatkah adik pada kata-kata ibu : “Sejauh mana kita pergi kita pasti kembali. Yang mengembara akan pulang. Yang merantau rindukan halaman. Hidup ini bulatan. Permulaan itu hujung. Dan hujung adalah permulaan.”
Sudah ke serata tanah abang cuba menjejaki adik. Tidak jumpa. Khabar terakhir adik di luar negara. Benarkah? Tetapi sebulan sebelum ibu jatuh sakit, kata ibu dia bertikam jejak dengan adik di Hutan Melintang. Cuba mengekori tetapi terlepas kerana dihalang kesesakan lalulintas. Benarkah? Sudah pulangkah adik?
“Ayah, ibu panggil. Opah! Opah!” Ahmad, anak sulung abang menjerit. Pecahlah imbasan-imbasan silam itu dan diganti dengan ketakutan realiti. Abang bergegas ke bilik.
“Ibu ampunkan kesalahan abang dan adik. Juga Hayati. Tolong maafkan semua salah ibu. Bila adik kembali nanti, beritahu dia yang ibu minta maaf darinya,” kata ibu dalam syahdu. Kata-kata ibu itu menggigit hati pilu abang. Air mata tidak dapat diseka lagi. Setelah lama berdiam, akhirnya ibu pun melafazkan dua kalimah syahadah yang suci itu. Terang dan lancar. Mata ibu memandang tepat ke bahagian kanan bilik itu. Bibir ibu mengukir senyum. Dahi ibu pecah dengan keringat. Lalu ibu pun memejamkan matanya buat selamanya. Serentak itu haruman kesturi pun menaburkan wanginya ke segenap ruang. Abang terkedu. Kak Hayatimu tertunduk di kaki ibu. Ahmad, Aziz, Akmal dan Siti, anak-anak abang itu berdiri kaku di muka pintu bilik. Sanak saudara, jiran-jiran dan sahabat handai turut bersedih.
Talqin selesai dibaca. Cerek berisi air yang berbaur dengan beberapa jenis bunga itu sudah kering. Orang ramai sudah beransur meninggalkan tanah perkuburan. Tanah perkuburan itu kini lenganglah. Abang masih duduk di sisi kubur ibu. Masih mengharap adik akan pulang. Tetapi bayang adik belum juga kelihatan. Hati abang terhiris. Di manakah adik berada?
Adik, pulanglah. Jika adik membaca luahan ini segeralah berangkat ke sini. Kakak ipar dan anak-anak saudara adik sedang menunggu dalam merindu. Begitu juga kubur ibu. Masih sempat belum pernah terlewat.
Pulanglah! Ingat, hidup ini bulatan!
- fitrihussin -
- fitrihussin -
No comments:
Post a Comment